Dikurniakan empat orang cahaya mata, penyanyi Adira Suhaimi menganggap kehidupannya kini sudah lengkap dan sempurna selain bersyukur dengan rezeki yang diterima dari segi kerjaya dan anak-anak.

Bertanya mengenai kehidupannya sekarang selepas kehadiran bayi keempat, Ayub pada 29 September lalu, Adira berkata dia berseronok walaupun hidupnya agak kelam kabut menguruskan anak-anak.

“Alhamdulillah kehidupan saya kini lebih lengkap dan sempurna. Jujurnya saya seronok dan saya sangat bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang, dari segi kerja mahupun anak-anak, semuanya adalah rezeki dari Allah.

“Saya percaya apa yang saya ada sekarang, semuanya saya tumpang rezeki anak-anak saja sebenarnya. Dan kalau bertanya mengenai situasi, saya juga sudah biasa dengan situasi kelam kabut.

“Jadi saya boleh mengendalikan semua. Memang pada awalnya saya pun pening kepala tapi lama-lama alhamdulillah saya boleh uruskan,” katanya kepada Gempak.

Adira yang juga pemenang tempat kedua di Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu berkata, dia kini juga kembali aktif dengan kerjayanya tapi pada masa sama memberi keutamaan pada anak-anaknya.

“Anak-anak saya adalah keutamaan saya sekarang ini. Sebelum saya pergi bekerja di luar, saya akan fikir anak-anak dulu macam mana. Terus terang saya bukanlah memilih, tapi kalau pekerjaan itu terlalu jauh dan terlalu lama, memang saya akan fikir dulu.

“Tapi setakat ini syukur tiada halangan dan semuanya berjalan dengan lancar. Sebab saya sudah biasa dan saya juga mempunyai pembantu untuk menjaga anak-anak,” katanya yang akan mengeluarkan single duet bersama Khai Bahar berjudul Pejam, sekitar tahun depan.

Terdahulu, Adira berkahwin bersama ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu pada 3 Disember 2015 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayub.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!