Sebelum ini banyak #challenge atau cabaran-cabaran di media sosial menjadi ikutan, tak kiralah ia berasal dari dalam atau luar negara.

Yang terbaru, tular #picitchallenge terlampau yang memaparkan foto suami mencubit punggung isteri ketika bergambar bersama di pagi Aidilfitri.

Di laman sosial Twitter, rata-rata warganet mula mempersoalkan tentang sikap melampau sesetengah pengguna laman sosial yang sanggup melakukan perbuatan melampau semata-mata untuk mendapat tanda suka dan menjadi tular.

Ada warga Twitter yang melihat perkara tersebut sebagai tidak menjaga aib pasangan (isteri) dan kurang sopan serta mencemarkan kesucian bulan Syawal.

“Bukan semua gurau senda suami isteri manis untuk dipertontonkan…Cabaran Picit jadi tular di Hari Raya pertama, netizen dinasihatkan jaga adab sopan dan kesucian bulan Syawal,” tulis admin Awatni Buzz.

Selain mencubit punggung isteri, #picitchallenge juga membenarkan perbuatan tersebut dilakukan oleh sesiapa sahaja untuk tujuan suka-suka.

“Hentikanlah challenge mengarut ni, ia sangat bod*h!,” kata pengguna Twitter lain pula.

Dalam pada itu, Gempak sempat membuat tinjauan di laman sosial Twitter dan Instagram menggunakan tanda pagar PicitChallenge.

Penemuan kami, pada asalnya cabaran tersebut tidaklah keterlaluan kerana warga net hanya memicit pipi kanak-kanak dan haiwan kesayangan masing-masing.

Selain itu, PicitChallenge juga pada asalnya dimulakan oleh sekumpulan remaja lelaki yang mencubit punggung teman di sebelah ketika bergambar, dengan tujuan bergurau.

Namun, cabaran ‘comel’ tersebut bertukar menjadi gurauan ‘terlampau’ apabila ada segelintir yang berlebihan-lebihan.

Walaupun yang dicubit itu punggung isteri sendiri, namun perbuatan tersebut tidak manis untuk tontonan umum.