Pelakon Aeril Zafrel yang sembuh dari COVID 19 mendedahkan diri dan keluarganya disihir oleh seseorang, baru baru ini.

Pendedahan itu dikongsikan Aeril melalui kemas kini terbaharu di Instagramnya, tengahari tadi.

Melalui kemas kini tersebut, Aeril menunjukkan tiga bentuk objek seperti 'patung manusia' dengan kepala berlubang di tengah sementara terdapat ukiran yang tidak difahami pada bahagian 'badan'.

"Setiap orang ada ujian, cubaan dan dugaan masing-masing. Hanya dengan pertolongan ALLAH sahaja segalanya dipermudahkan jalan keluarnya dan mampu dihadapi dengan tenang.

"Begitu juga dengan saya, Alhamdulillah .... ALLAH hantarkan bantuannya menerusi orang yang arif - saya dan keluarga terselamat daripada permainan ilmu sihir 'seseorang' baru-baru ini," tulis Aeril pada bahagian kapsyen.

Bersama pendedahan yang mengejutkan itu, Aeril menyampaikan permohonan maaf sekiranya banyak membuat silap tanpa disedari sehingga menyinggung perasaan pihak lain sehingga mengambil langkah melakukan percubaan sihir terhadapnya.

Setelah meminta maaf, dia juga mengatakan telah memaafkan pihak yang berniat tidak baik kepadanya. Selain menyerahkan segala urusan kepada Allah, dia juga mengajak pertemuan empat mata bersama pihak yang berasa sakit hati dengannya.

"Sejujurnya saya memaafkan perbuatan aniaya 'pihak itu' kepada saya. Selebihnya saya serahkan pada ALLAH Rafiqul A'la. Semoga bertaubat dengan sesungguhnya.

"Sekiranya masih ada lagi rasa tidak puas hati atau ingin melampiaskan amarah atau menegur kesilapan saya - marilah bertemu secara nyata dan insyaALLAH saya akan berlapang dada untuk mendengarnya dan membetulkan apa jua kesalahan saya jika ada.

"Saya mohon ampun maaf pada semua. Saya serahkan diri saya, isteri dan anak2 kepada sebaik-baik tempat berlindung dan perlindungan Yang Maha Menyelamatkan - ALLAHhu Robbi," akhirinya.

Suami Wawa Zainal itu bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana dia menemui objek khurafat dan siapa yang membantunya 'mengesan' dirinya dan keluarga hampir terkena sihir.

Instagram: @aeril_zafrel