Laman Utama
Aeril Zafrel Disahkan Positif Covid-19 Selepas Lawat Pengurus Demam
Pelakon Aeril Zafrel memaklumkan dirinya disahkan positif jangkitan Covid-19 selepas bertandang ke rumah pengurusnya yang mengalami demam.
Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 33, berkata status dirinya itu hanya diketahui malam tadi selepas menjalani ujian calitan kelmarin.
"Malam tadi aku mendapat perkhabaran aku positive Covid-19. Hari Isnin, aku pergi ke rumah pembantu peribadi/pengurus aku sebab dia demam.
"Jadi aku ke sana sebab kebiasaannya aku yang akan jaga dia kalau dia sakit teruk sebelum ni. Jadi, sebab hari pun dah lewat, maka aku buat keputusan untuk tidur sana.
"Selasa esoknya aku angkut dia pergi klinik dan ambil sjian calitan PCR sekali dengan aku. Rabu keputusan keluar, aku dan pengurus positif," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam hantaran itu, Aeril turut berkongsi semula rakaman video ketika dirinya menjalani ujian saringan Covid-19.
Menurut Aeril lagi, dia juga sudah meminta ahli keluarganya yang lain untuk menjalani ujian calitan sama.
"Terus aku panggil Kumpulan Megaklinik Zahran untuk ujian calitan keluarga dan kakitangan aku sebab ada jumpa mereka. Ujian calitan RTK mereka semua negatif dan masih menanti keputusan PCR pula. Doakan negatif juga," katanya.
Buat masa ini, kata Aeril lagi dia menjalani proses kuarantin kendiri di rumahnya sendiri.
"Sekarang aku kuarantin di bilik atas nak isi masa 10 hari ini dengan macam-macam aktiviti di bilik.
"Doakan guys. Sekarang pengurus aku tu dah pulih tak demam lagi, tapi tetap kuarantin kendiri," katanya.