BERITA
Afdlin Balas Rafizi: 'Saya Pelawak, Tapi Dipilih Akar Umbi'
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan mempersoalkan kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang disifatkan memperlekehkan kemenangannya dalam pemilihan parti apabila merujuk dirinya sebagai 'pelawak profesional'.
Afdlin berkata, walaupun gelaran itu mungkin disebut dalam nada berseloroh, ia membawa kesan besar apabila dikaitkan dengan kemenangan beliau dalam pemilihan PKR Cabang Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak malu dengan gelaran sebagai pelawak, pengarah, penerbit, penulis, pendidik dan aktivis sosial, kerana semua itu merupakan sebahagian daripada identiti beliau sebagai anak seni dan sumber rezeki keluarga selama ini.
"Tetapi apabila label itu digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, maka ia membawa maksud yang berbeza.
"Seolah-olah suara ahli yang memilih saya tidak wajar dihormati hanya kerana latar belakang saya bukan daripada ‘kilang politik’," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Afdlin turut memaklumkan bahawa beliau menyertai PKR bukan ketika parti berada di puncak kuasa, tetapi sewaktu ramai memilih menjauhkan diri, iaitu selepas kejatuhan kerajaan melalui Langkah Sheraton.
"Saya tidak tunggu peluang terbuka baru datang mencuba nasib. Saya tampil ketika parti sedang luka dan ramai tidak lagi percaya kita mampu bangkit. Saya memilih untuk yakin dan berjuang, walaupun dari gelanggang yang asing bagi orang politik – dunia seni," ujarnya.
Lebih menyedihkan, kata Afdlin, masih ada pihak yang menyangka beliau hanya ‘kepala menang, badan kalah’.
"Hakikatnya, seluruh pasukan saya di Setiawangsa – Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang, AJK dan Ketua AMK – turut menang dalam pemilihan ini. Ini bukan kemenangan peribadi, tetapi suara kolektif akar umbi yang menuntut nafas baharu dan kepimpinan yang sedia turun padang, bukan sekadar muncul di pentas wacana," tambah beliau.
Bagaimanapun, Afdlin menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan polemik tersebut kerana percaya bahawa demi memastikan PKR terus relevan, semua pihak mesti meraikan perbezaan pandangan dan bukannya memperlekehkannya.
"Anak muda, profesional, golongan seni dan rakyat biasa mesti melihat parti ini sebagai rumah perjuangan yang inklusif, bukan gelanggang ejek-mengejek dalam kalangan pemuka," katanya lagi.
Beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk Rafizi, demi memperkukuh cabang dan memajukan parti.
Namun, katanya, beliau tidak akan berdiam diri sekiranya integriti dan mandat yang dipikul cuba dipertikai secara terbuka dan sinis.
"Saya terbuka untuk berdialog, tetapi saya tidak akan berdiam diri jika usaha saya dan suara akar umbi dipinggirkan hanya kerana saya bukan datang dari kilang politik yang sama," tegasnya.
Sumber: Astro Awani menerusi Sinar Harian