Afdlin Shauki, Christina Orow Bercerai! - "Beberapa Bulan Sebelum Anniversary Kami ..."
Shahrin Zulkifle
23/07/2022 02:00 MYT
23/07/2022 02:00 MYT
Selepas 25 tahun hidup bersama, isteri kepada Datuk Afdlin Shauki, Datin Maria Christina Orow Abdullah mengumumkan sudah sah bercerai pada Jumaat.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Maria memaklumkan mereka sudah berpisah secara baik sejak April lalu.
“Hanya tinggal beberapa bulan sahaja untuk menyambut ulang tahun ke-25 perkahwinan kami, saya dan Afdlin membuat keputusan bahawa kami akhirnya mengumumkan bercerai pada April lalu.
“Keputusan dibuat agak pantas, mungkin kerana tidak dapat dielakkan, dan kerana kami melakukannya tidak melihat sebagai seorang musuh atau pengakhiran kepada hubungan kami.
“Kami mengumumkan perkara ini sekarang kerana bulan ini sudah cukup tiga bulan tempoh iddah saya telah tamat,” tulis Maria.
Tambah Maria, kehidupan bahagia mereka diuji ketika pandemik COVID-19 yang mencetuskan salah faham sekali gus menjadi punca menjadi punca keretakan rumah tangga.
“Sebenarnya hidup kami berjalan dengan sempurna, melihat anak-anak membesar menjadi insan yang mula bertanggungjawab terhadap kehidupan masing-masing dan menjadi satu pasukan kreatif mengembangkan syarikat bersama-sama.
"Perpisahan ini berlaku berperingkat apabila kami mulai membuat keputusan secara peribadi, sendiri.
"Ketika pandemik COVID-19 melanda, kehidupan saya dan Afdlin mula berubah, seakan berlaku salah faham. Meskipun kami cuba untuk mendapatkan kembali kehidupan normal itu, namun tidak berjaya apabila masing-masing mengambil keputusan untuk memilih jalan sendiri,” tambahnya.
Selain itu, Maria turut memberitahu tanggungjawabnya bersama Afdlin dalam membesarkan anak-anak masih diteruskan dan perpisahan itu bukanlah penyebab untuk mereka tidak menyokong antara satu sama lain.
“Kami masih ibu dan bapa kepada anak-anak kami, kerana kami selalu percaya kami masih boleh saling menyokong dan menyayangi antara satu sama lain seperti sebuah keluarga normal.
“Suatu masa, pada akhirnya setiap orang akan menjalani kehidupan mereka sendiri dan apa yang kami lakukan ini bukanlah ingin mencerminkan kehidupan mereka, kerana kami masih sentiasa bersama anak-anak kami.
“Perpisahan pada saya bukan satu kemusnahan di dalam hubungan kami, sebaliknya kami masih boleh berkawan baik dalam meneruskan kehidupan peribadi masing-masing.
“Saya tahu Afdlin akan terus menyokong saya sebagai seorang sahabat dan soulmate, begitu juga saya akan menyokong dia dalam kerjayanya kerana kehadiran dia dalam hidup saya adalah suatu makna yang berharga.
Justeru, Maria berharap orang ramai menghormati keputusan yang diambil mereka.
“Kami berharap bahawa rakan-rakan dan keluarga jangan rasa sedih, dan orang ramai boleh menerima ini sebagai satu kehidupan yang agak normal dan teratur yang dilalui oleh ramai orang.
“Kami meminta keluarga kami dan khususnya privasi anak-anak kita dihormati dan semoga semua selamat, sihat dan bahagia,” jelas Maria.
Untuk info, Maria dan Afdlin telah bergelar suami dan isteri pada tahun 1997 dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.
Anak sulung mereka, Mia Sara, turut berkecimpung dalam bidang lakonan dan kini membintangi drama rantaian popular Histeria The Series.