Tahun 2021 sudah pun hampir melabuhkan tirainya. Namun, gosip cinta antara penyanyi Datuk Seri Rossa dan Afgan masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda akan tamat.

Terbaharu, penyanyi yang popular dengan lagu Pudar itu memuat naik satu hantaran berbentuk apresiasi di Instagramnya yang menyifatkan Afgan sebagai individu yang sentiasa mendukung karier dan perjalan hidupnya.

A post shared by Rossa (@itsrossa910)


“Terima kasih kerana selalu ada di hari-hari saya. Jadi orang paling lucu, berani, kritis, mendukung, melarang dan lain-lainya. Kamu namakan sahaja.

“Terima kasih untuk segala-galanya. Saya tidak akan menjadi saya jika saya tidak mempunyai kamu,” tulis Rossa di Instagramnya.

Menariknya, pada ruangan komen, Afgan turut meninggalkan respons yang membuatkan ramai pengikutnya terus meneka status sebenar hubungan mereka.

“Too sweet, congrats love,” ucap Afgan yang memanggil Rossa dengan panggilan istimewa, ‘Love’.

“Bila nikah ni?” tanya seorang peminat.

“Manis sangat kalian. Bahagia selalu ya Afgan we love you,” respons seorang peminat Afgan pula.

“Lanjut sahaja Afgan, menuju pelaminan 2022,” seloroh seorang pengikut.

Rossa baru sahaja selesai menjalankan konsert 25 Tahun Rossa yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen di Indonesia, semalam.

Khabar angin mengenai hubungan istimewa mereka berdua telah lama dibicarakan oleh peminat dan warganet.

Namun, baik Afgan mahupun Rossa, masing-masing tidak pernah menyatakan status rasmi hubungan mereka.

Jika ditanya media, kedua-duanya akan menepis soalan mengenai status hubungan mereka dengan menyatakan mereka hanya kawan rapat sahaja.

Terdahulu, Rossa dan Afgan juga pernah dilihat menghabiskan masa bercuti bersama-sama di New York, Amerika Syarikat.