Laman Utama

Afiq Muiz Sah Ceraikan Pachara Dengan Talak Satu

gempak
Gempak
18/07/2023
06:30 MYT
Sponsor Banner
Afiq Muiz Sah Ceraikan Pachara Dengan Talak Satu
Pelakon, Afiq Muiz, 31, dan Pachara sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, pada Selasa.
Peguam syarie mewakili Afiq iaitu Mohd Yazit Sa'at memaklumkan, anak guamnya membuat lafaz cerai terhadap Pachara atau nama sebenarnya, Nur Aaira Mahadeya, 32, di hadapan hakim, Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani selepas masing-masing bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik.
"Ada beberapa perkara dipersetujui antaranya pihak Pachara bersetuju untuk menggugurkan semua haknya seperti nafkah edah, mutaah, tunggakan nafkah isteri dan hutang dalam perkahwinan.
"Jadi, Pachara tidak akan membuat sebarang tuntutan selepas perceraian ini.
"Kedua, Afiq bersetuju untuk menarik semula kes nusyuz yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang," katanya.
Pada masa sama, Mohd Yazit berkata, perbincangan sudah dilakukan antara peguam kedua pihak dan anak guam masing-masing bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau dakwaan dalam media sosial.
"Perbincangan pada awalnya hanya dilakukan antara peguam secara bersurat. Kali terakhir perbincangan dilakukan pagi tadi iaitu sebelum memasuki dewan bicara.
"Jadi, akhirnya perkara ini dapat diputuskan. Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau dakwaan dalam media sosial selepas perceraian," katanya.
Terdahulu, Pachara membuat permohonan tuntutan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, Petaling Jaya.
Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara diharuskan oleh hukum syarak.
Difahamkan, Pachara memfailkan permohonan fasakh terhadap Afiq pada Oktober tahun lalu.
Selain itu, Pachara turut membuat laporan polis pada 14 Mei 2021 atas dakwaan Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali, selain menendang perut dan menumbuk bahagian dagu sebanyak dua kali.
Pada November tahun lalu, media melaporkan Afiq membuat laporan polis berhubung dakwaan isterinya yang dianggap fitnah.
Afiq dilapor menyerahkan kepada peguam untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul dilemparkan wanita terbabit.
Sebelum ini, Pachara yang berasal dari Ranau, Sabah memuat naik kenyataan dalam Facebook (FB) dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki dan jarinya patah.
Kenyataan itu mendapat komen balas adik Afiq, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara didakwa membuat kenyataan palsu dalam media.
Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga.
BH ONLINE
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024