BERITA
"After Many Years, Sukar Untuk Saya Tinggalkan Dunia Lakonan" - Nelydia Senrose
Aktres jelita, Nelydia Senrose tidak akan meninggalkan dunia lakonan kerana sangat mencintai kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Menurut Nelydia, penglibatannya dalam industri hiburan tempatan yang sudah menjangkau tempoh belasan tahun membuatkan dia semakin sayang akan dunia lakonan.
"Sudah 13 tahun saya berada di dalam industri, meskipun bukanlah tempoh yang sangat panjang, tapi ia cukup membuatkan saya sayang akan kerjaya saya sebagai seorang anak seni.
"After many years, sukar untuk saya tinggalkan dunia lakonan meskipun sudah berumah tangga, saya akan tetap terus berlakon memandangkan suami saya pun sentiasa memberi sokongan positif," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Nelydia juga bakal bergelar seorang usahawan dengan membuka perniagaan barang kemas tidak lama lagi.
"Selain berlakon, saya juga akan aktif dalam bidang perniagaan, sekarang saya sibuk dengan persediaan melancarkan jenama barang kemas saya sendiri yang akan berada di pasaran tidak lama lagi, semoga semuanya berjalan lancar," tambahnya lagi.
Masih bergelar pengantin baru, Nelydia mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid pada 6 April lalu.