Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Agak Berat Untuk Pikul, Ada Waktunya Rasa Sedih” – Indah Ruhaila Kerap Fikir Soal Zuriat, Masih Usaha Cara Semula Jadi Berbanding IVF

Shahrin Zulkifle
15/08/2022 02:00 MYT
Penyanyi Indah Ruhaila, 35, mendedahkan kerap kali memikirkan tentang zuriat apabila bersendirian kerana sering diajukan soalan berkenaan.

Jelas Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, dia sudah mengimpikan untuk memiliki cahaya mata sejak mula mendirikan rumah tangga, namun akur dengan rezeki yang sudah ditetapkan kepadanya.

“Sebenarnya soalan tentang zuriat ni banyak dah saya dapat, kadang kala penat juga nak menjawab, tapi secara jujurnya memang saya dan suami (Ahmad Shariff) inginkan cahaya mata. Namun berbalik kepada rezeki yang Allah sudah tetapkan kepada kami.

“Untuk menjawab soalan sebegini mulut saya mudah untuk berkata, tetapi bila saya duduk sendirian memikirkan hal ini agak berat untuk pikul, ada waktunya rasa sedih juga.

“Walau bagaimanapun saya tidak mahu bersangka buruk kepada Allah, kerana saya percaya Allah tahu masa yang terbaik untuk saya mempunyai cahaya mata,” katanya kepada Gempak ketika majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul All My Heart jumaat lalu.

Selain itu, pelantun lagu Pudar itu turut menyatakan ada juga segelinitir pasangan di luar sana yang mengalami perkara sama sehingga mencuba kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF) namun masih belum dikurnaikan zuriat.

Malah, Indah cenderung memilih untuk berusaha menggunakan cara semula jadi dan menganggap usianya masih muda untuk melakukan kaedah IVF.

“Saya percaya bukan saya seorang sahaja yang sedang berusaha, wanita-wanita di luar sana ada juga yang menerima nasib seperti saya, malah ada juga yang menggunakan cara IVF

“Berkenaan IVF, saya masih tidak pada tahap itu kerana saya anggap usia saya masih muda dan usia perkahwinan saya yang memasuki lima tahun ini masih baru untuk pasangan suami isteri. Saya masih berusaha cara natural,” ujarnya.

Untuk rekod, Indah Ahmad Shariff telah selamat disatukan sebagai suami isteri pada Disember 2017.

#Akademi Fantasia #Indah Ruhaila #Lagu baru #Rocketfuel #All My Heart #Astro Talent
;