HIBURAN

Agensi Kim Soo Hyun Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Keluarga Kim Sae Ron

Asyraf Roslan 22/03/2025 | 15:55 MYT

Agensi kepada pelakon Kim Soo Hyun, Gold Medalist, telah memfailkan tuntutan jenayah terhadap pengendali saluran YouTube Garo Sero Research Institute serta keluarga mendiang Kim Sae Ron.

Dalam satu kenyataan rasmi, agensi itu menyatakan bahawa tindakan ini diambil selepas penyebaran gambar Soo Hyun dalam keadaan tidak sopan tanpa kebenaran.

“Sebagai agensi yang menguruskan pelakon Kim Soo Hyun, kami telah memfailkan aduan jenayah terhadap Kim Sae Eui, pengendali saluran YouTube Garo Sero Research Institute yang telah menyiarkan gambar pelakon Kim Soo Hyun dalam keadaan seluar diturunkan ketika siaran langsung di saluran YouTubenya.

“Aduan ini turut melibatkan keluarga mendiang pelakon Kim Sae Ron serta seorang individu tidak dikenali yang mendakwa dirinya sebagai ibu saudara Kim Sae Ron, yang dikatakan telah memberikan foto tersebut kepada Kim Sae Eui sehingga dia menyiarkannya di saluran YouTube tersebut.” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Gold Medalist turut menjelaskan bahawa gambar tersebut diambil ketika Soo Hyun dan Sae Ron sedang menjalinkan hubungan pada usia yang sah di sisi undang-undang.

Namun, penyebaran gambar tersebut tanpa izin adalah satu perbuatan jenayah yang mampu mencemarkan maruah pelakon terbabit.

"Pertuduhan yang difailkan termasuk pelanggaran Akta Kes-Kes Khas Berkaitan Hukuman Jenayah Seksual (pengedaran rakaman yang diambil menggunakan kamera, dan sebagainya).

"Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan kami sebelum ini, GOLD MEDALIST amat berdukacita dengan pemergian mendiang Kim Sae Ron, yang pernah menjadi sebahagian daripada agensi kami, dan kami terus meratapi kehilangan beliau,” tambahnya.

Terdahulu, saluran YouTube Hoverlab mendakwa bahawa Soo Hyun menjalin hubungan dengan mendiang Kim Sae Ron ketika dia masih di bawah umur. Hoverlab mendakwa pasangan itu bersama selama enam tahun, bermula ketika Sae Ron berusia 15 tahun dan Soo Hyun berusia 27 tahun.

Sehari selepas dakwaan tersebut, saluran itu turut mendedahkan gambar Soo Hyun mencium pipi Sae Ron, mencetuskan lebih banyak spekulasi dalam kalangan peminat.

Namun, Gold Medalist menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran maklumat palsu.

Kim Sae Ron, bintang filem The Man from Nowhere dan The Neighbors, ditemui meninggal dunia di rumahnya bulan lalu pada usia 24 tahun.
#Kim Sae Ron #Kim Soo Hyun #Gold Medalist