Laman Utama
Agong, Raja Permaisuri Zahir Ucapan Takziah Atas Pemergian Isteri Legenda Badminton Negara
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek, yang telah menghembuskan nafas terakhir semalam.
Menerusi laman Facebook rasmi, Istana Negara hari ini menyatakan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar keluarganya tabah melalui pemergian itu.
"KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datin Latifah Sidek, isteri legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang telah kembali ke Rahmatullah semalam.
Advertisement
"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini," tulis kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri Allah SWT.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," tulis kenyataan itu lagi.
Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama Datuk Misbun Sidek pada 1987 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita dan Misbun Awalauddin.
Berita pemergian Allahayarham juga disahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Twitter malam tadi. Bagaimanapun, punca kematian tidak dimaklumkan.
Terdahulu, Latifah pernah dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan positif COVID-19.
Kredit Foto: Facebook Istana Negara
Must-Watch Video