Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Ahli Floor 88 Ada 'Super Power' , Ini 5 Sebab Wajib Tonton Hutang 2D

Syafiqah Jalal 05/08/2021 | 04:20 MYT
Popular dan melakar kejayaan tersendiri dengan lagu Hutang, kumpulan Floor 88 kini muncul dalam versi filem apabila tampil dengan Hutang 2D.
Filem yang menampilkan kesemua ahli kumpulan tersebut iaitu Ayie Elham, Eric Fuzi, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq membawa penonton mendalami maksud sebenar lagu Hutang dalam bentuk yang lebih luas dan menarik.
Tidak cukup dengan itu, filem bergenre aksi, komedi dan fantasi itu turut menampilkan pemain keyboard kumpulan itu, Eric sebagai pengarah bersama.
Filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios itu ditayangkan terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.
Gempak kongsikan 5 perkara menarik yang membuatkan anda wajib menonton Hutang 2D.
  1. Dari Lagu Ke Filem
Ini bukan pertama kali Floor 88 tampilkan lagu nyanyian mereka ke dalam bentuk lakonan. Terdahulu, Floor 88 pernah pamerkan bakat lakonan menerusi telefilem Kau Roadblock Hatiku (2018) dan Tok Moh Talent Agency (2019) yang ditayangkan di Astro Citra. Tetapi kini Hutang 2D adalah kemunculan pertama kumpulan Floor 88 menerusi filem dan ia bakal hiburkan penonton dengan gelagat, aksi dan komedi yang mencuit hati.
Lagu popular Hutang nyanyian kumpulan Floor 88 melakar kejayaan tersendiri dengan mendominasi carta radio dan televisyen tempatan pada tahun 2019 serta liriknya telah menjadi siulan oleh golongan kanak-kanak hingga orang dewasa. Bait-bait lirik lagu Hutang juga membawa maksud yang cukup mendalam.
Menariknya, setiap ahli Floor 88 memegang watak berbeza dengan mempunyai kuasa yang berlainan. Ceritanya dibesarkan lagi dengan watak-watak tambahan dari penyanyi Baby Shima dan Black Hanifah. Ropie sebelum ini tampil dalam muzik video lagu Hutang dengan watak seorang yang banyak hutang, dan menariknya watak tersebut telah dikembangkan ke dalam filem dan menjadi salah satu konflik di dalam penceritaan Hutang 2D.
  1. Dibintangi Barisan Penyanyi
Selain ahli kumpulan Floor 88, filem ini juga turut menampilkan gabungan penyanyi-penyanyi terkenal tanah air serta pelakon hebat dalam menggerakkan setiap watak. Antaranya, Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki. Selain itu semua pelakon termasuk Ropie yang sebelum ini membintangi muzik video Hutang.
Pun begitu, bakat semua penyanyi dalam lakonan yang dibawakan dalam filem ini agak hebat malah mereka beraksi dengan sangat semula jadi. Wajah-wajah yang sangat asing dalam lakonan ini membawa satu kesegaran dalam filem tanah air.
Watak Ayie yang dijayakan oleh Ayie Elham, ia memberi cabaran baru buatnya apabila dia perlu melakukan aksi ‘fight’. Namun begitu, pengalamannya dalam teater serta tunjuk ajar daripada pengarah dan kru sedikit sebanyak membantu dia menjayakan watak Ayie.
Bukan itu sahaja, anggota lain Floor 88 iaitu Eric Fuzi turut melebarkan bakatnya dalam pengarahan filem. Beliau bersama pengarah Irwan Rauf merupakan pengarah untuk Hutang 2D.
  1. Filem gabungan animasi dan webtoon
Jarang di Malaysia yang mengetengahkan elemen animasi dan webtune tetapi Hutang 2D telah membuktikan ia telah menjadi sesuatu yang menarik untuk ditonton. Gabungan itu membuatkan filem ini lebih segar. Unsur CGI juga memberi impak yang hebat terutama bagi watak setiap ahli Floor 88 yang tampil dengan 'super power' atau kuasa yang berbeza.
  1. Cameo hebat
Bukan calang-calang, Hutang 2D juga menampilkan pelakon cameo yang hebat dalam industri lakonan iaitu Ogy Ahmad Daud. Meskipun watak Ogy kecil namun ia memberi impak dan menghidupkan emosi yang berbeza dan matang setiap kemunculannya.
Selain itu, filem ini juga menampilkan pelakon cameo yang juga merupakan seorang penyanyi rap popular iaitu Altimet. Meskipun dikenali sebagai penyanyi kemunculannya di permulaan dan akhir cerita ini membuatkan penonton teruja dengan kata-katanya dari dialog yang disampaikan iaitu ketika babak dengan Ayie.
Kata-kata Altimet juga turut memberi inspirasi yang positif kepada penonton terutama yang sedang diduga di kala pandemi ini.
  1. Komedi santai seisi keluarga
Secara keseluruhannya filem Hutang 2D sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga sebagai hiburan ringan dan santai.
Meskipun membawa kisah mengenai bahayanya berhutang kepada golongan dewasa namun menariknya ia diselitkan dengan elemen komedi yang boleh memberi hiburan ringan kepada seisi keluarga. Malah watak Wafiy yang popular di rancangan kanak-kanak itu juga pasti membuatkan anak-anak tertarik untuk menonton sambal berhibur.
Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).
Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.
Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.
Saksikan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios ini terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.
#Penyanyi #Filem #Berlakon #Power #Floor 88 #First #'Astro #Hutang 2D #'Super
;