Pelakon Shukri Yahaya mengesahkan dirinya kini negatif virus Covid-19.

Bagaimanapun, Shukri memberitahu beberapa orang ahli keluarganya disahkan positif virus tersebut.

"Dukacita saya nak maklumkan kakak saya dua orang, adik perempuan saya, ipar lelaki saya dan seorang anak buah saya disahkan positif Covid-19.

"Saya sudah membuat kuarantin diri sejak Sabtu lepas dan membuat ujian swab pada kelmarin (Khamis) dan keputusannya negatif. Mungkin Allah bagi negatif untuk saya menjaga keluarga saya yang lain.

"Saya tiada kontrak langsung dengan adik-beradik saya, jangan risau saya akan melalui kuarantin kendiri selama 14 hari dan akan maklumkan kepada semua dari semasa ke semasa," katanya melalui kemaskini Instagram Stories pada Sabtu.

Shukri mengemaskini akaun Instagramnya itu dari dalam kenderaan yang dipandunya bersendirian selepas mengambil keputusan ujian swab Covid-19.

"Jangan risau saya akan pulang ke rumah untuk menyambung kuarantin diri dan tidak berjumpa sesiapa pun. Doa-doakan kami," tambahnya.

Justeru, Shukri berpesan kepada orang ramai agar sentiasa meningkatkan kawalan kendiri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Jaga diri ya semua, mula-mula ramai yang ambil sambil lewa tentang virus ini. Apabila sudah kena pada keluarga sendiri susah woo. Kau akan menangis punya!

"Tambah-tambah bila tengok satu persatu adik-beradik kau, jadi kau sendiri kena kuat.

"Kuat yang saya maksudkan daripada segi mental dan hati," ujarnya.