Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ahli Senario, Geng Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Jaafar Onn... - Pelawak Veteren Bakal Tunjuk Aksi Stand Up Komedi

Azwa Rahman
27/11/2019 12:15 MYT
Astro melancarkan sebuah program berkonsepkan persembahan komedi Stand Up Comedy Otai yang akan bermula pada 5 Disember ini.

Program yang bercorak showcase ini akan tampil dengan tema yang berbeza untuk 10 episod. Barisan pelawak ini diberikan peluang berkongsi pengalaman dan kisah hidup mereka namun perlu bersesuaian dengan nada komedi.

Menurut Ketua Saluran Astro Warna, Prima dan InTrend, Norzeha Mohd Salleh, program terbaru ini bertujuan menyahut saranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menggalakkan penglibatan penggiat seni veteran untuk kekal relevan.



“Musim pertama ini menyaksikan pihak Astro yang memanggil para pelawak veteran ini untuk menyertai program ini.

“Diharapkan jika ada permintaan, lebih ramai pelawak yang sukarela untuk menyertai program ini untuk musim kedua.

“Di pentas Stand Up Comedy Otai inilah barisan pelawak veteran diberikan platform untuk berkongsi pengalaman mereka dalam mengharungi industri seni supaya lebih rami generasi muda mengenali mereka,” katanya kepada Gempak.

Seramai 18 ‘orang lama’ yang terdiri daripada pelakon dan pelawak terkenal bakal menjayakan program ini seperti AR Badul, Salih Yaacob, Fauziah Nawi, Angeline Tan, Azlee Senario, Hamdan Ramli, Saiful Apek, Sheila Mambo, Mr Rama, Datuk Shah Reza, Wan Maimunah, Pak Ya Senario, Jaafar Onn, Shamsul Ghau Ghau, Imuda, Ebby Yus, Jalil Hamid dan Sathiya.

Program Stand Up Comedy Otai akan bersiaran pada setiap hari Khamis bermula 5 Disember jam 9.30 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Selain itu, program ini turut boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.
#Pelawak #Astro #Otai
;