HIBURAN
Ahmad Sekali Lagi Memukau Berduet Dengan Ibu Saudara, Siti Nurhaliza Anggap Sebagai Pewaris Bakat Seni Keluarga - “Pelajaran Jangan Abai”
Anak lelaki kepada penyanyi, Siti Sairah iaitu Ahmad Daiyan sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila muncul berduet bersama ibu saudaranya yang juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, baru-baru ini.
Duet Bersama Ibu Saudara
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Siti Sairah di TikTok, Ahmad dan Siti Nurhaliza dilihat sedang menyampaikan lagu hits Seribu Kemanisan.
Penuh bersahaja, Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Amad itu ternyata membuat ramai terpukau dengan vokalnya biarpun berduet dengan Siti Nurhaliza.
Malah, Siti turut sempat memuji nyanyian anak saudaranya yang berusia 13 tahun itu.
“Sedapnya Amad,” puji Siti.
Sifatkan Sebagai Pewaris Bakat Seni
Di Instagram (IG), Siti turut berkongsi semula video nyanyiannya bersama Amad itu dengan mendoakan yang terbaik buat anak saudaranya itu.
“Seorang lagi pewaris bakat seni dan ahli sukan keluarga kami.
“Semoga Allah S.W.T permudahkan segalanya buat Amad.
“Pelajaran jangan diabaikan ye.. Amad sekarang sekolah di sekolah sukan,” pesannya.
Terdahulu, Amad mula mendapat perhatian apabila muncul membuat video nyanyian bersama kakaknya yang juga penyanyi, Umairah.