Keputusan ujian saringan kedua COVID-19 yang dijalani Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu adalah negatif.

Menerusi laporan Bernama, perkara itu dimaklumkan peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid dalam kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerusi WhatsApp.

“Keputusan ujian kedua RT-PCR Datuk Seri Ahmad Zahid yang keluar pada 9.30 malam tadi adalah negatif.

“Kami telah maklumkan (keputusan) kepada mahkamah dan pihak pendakwaan,” katanya.

Pada masa sama, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad turut mengesahkan perkara itu.

“Saya sudah dimaklumkan (keputusan),” katanya.

Terdahulu, semasa prosiding perbicaraan kes Ahmad Zahid Isnin lalu, mahkamah membenarkan permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan pada petang Isnin dan semalam, susulan ujian saringan Covid-19 yang dijalaninya.

Ini berikutan, Hamidi memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani ujian saringan kedua di Hospital KPJ Tawakal di sini pada Isnin lalu.

Peguam itu berkata keputusan bagi ujian saringan pertama Ahmad Zahid adalah negatif.

Sumber Bernama