Laman Utama
Aidil Aziz Kongsi Keadaan Terkini Fasha Sandha - “Masih Menunggu Keputusan Doktor Sama Ada…”
Suami kepada pelakon Fasha Sandha iaitu aktor Aidil Aziz enggan menuding jari mana-mana pihak susulan kemalangan yang menimpa isterinya ketika menjalani penggambaran pada petang Rabu.
Aidil atau nama sebenar, Mohd Aidil Abdul Aziz berkata, buat masa kini mengutamakan kesembuhan isterinya yang mengalami kecederaan di bahagian mata kiri.
“Buat masa ini saya tak sempat nak fikir benda lain, apa yang penting adalah keadaan Fasha. Saya mohon tolong doakan agar Fasha diberi kekuatan.
“Produksi juga ada hubungi saya untuk meminta maaf. Perkara ini pun sudah terjadi, jadi nak cerita lebih pun tak ada guna,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Aidil turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha memindahkan Fasha ke hospital di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Sekarang Fasha dirawat di Johor Bahru, Johor dan menunggu keputusan daripada doktor sama ada dibenarkan untuk dibawa ke Kuala Lumpur atau pun tidak.
“Saya sekarang ini masih di Kuala Lumpur dan sedang bersedia sekiranya Fasha dibenarkan untuk mendapatkan rawatan susulan di sini,” ujarnya.
Ditanya mengenai keadaan Fasha, Aidil berkata, isterinya itu masih di bawah pemantauan doktor dan dinasihati untuk berehat.
“Setakat ini, Fasha hanya memaklumkan perkembangannya kepada saya dan doktor pun menasihatinya untuk berehat. Keadaan di bahagian mata kiri Fasha masih bengkak dan tulangnya patah,” katanya.
Terdahulu, Fasha mengalami kecederaan di bahagian mata kirinya akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran sebuah drama di Johor Bahru, Johor pada petang Rabu.
Tulang mata kirinya patah selain bebola mata bengkak selepas terhentak di bucu katil yang tajam ketika menjayakan babak bersama seorang pelakon.