AIM23:Calonkan 6 Kategori, Tak Satu Pun Sangkut! Haqiem Rusli; "Saya Hairan Adakah Mimpi Tak Bagus"
Amri Hassan
03/09/2022 08:38 MYT
03/09/2022 08:38 MYT
Penyanyi Haqiem Rusli mempersoalkan kegagalan lagu Mimpi tidak tersenarai dalam calon akhir Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) tahun ini.
Kata Haqiem, pihak pengurusannya telah mencalonkan lagu terbabit untuk bertanding dalam enam kategori namun malangnya tidak bolos ke lima terbaik.
“Saya hairan apabila dimaklumkan lagu Mimpi langsung tak tersenarai dalam calon top 5 AIM.
“Kegagalan itu turut menimbulkan tanda tanya adakah lagu ini tidak bagus? Namun saya yakin rezeki itu Allah yang atur dan susun.
“Jadi saya serahkan sahaja perkara ini pada pihak pengurusan FMC Music,” katanya.
Sementara itu, wakil FMC dalam satu kenyataan berharap agar jawatankuasa AIM23 menyemak semula senarai calon akhir.
“Kami sedia maklum AIM adalah anugerah yang diberikan kepada karya berkualiti dan bukan bersandarkan populariti lagu semata-mata.
“Kami tidak akan mempertikaikan sekiranya lagu ini tidak pernah memenangi apa apa anugerah yang melalui proses penjurian professional.
“Malah kami sangat yakin bahawa ini lagu Mimpi layak untuk berada dalam senarai top 5 AIM23 untuk beberapa kategori,” ujarnya.
Untuk rekod, Mimpi ciptaan Haqiem dan lirik oleh Datuk A.Aida pernah memenangi tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-36 pada Mac lalu.
FMC telah mencalonkan lagu Mimpi untuk lagu pop terbaik, vokal lelaki terbaik, susunan muzik terbaik, rakaman lagu terbaik, runut bunyi (ost) terbaik di dalam drama dan muzik video terbaik.
Senarai akhir calon AIM23 telah diumumkan dalam satu sesi sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
AIM23 bakal berlangsung pada 11 September ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.
Bagi edisi kali ini, pihak penganjur menerima 650 pencalonan bagi karya yang diterbitkan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 dan hanya 105 daripadanya disenarai pendek menerusi 21 kategori yang dipertandingkan.
Penjurian bagi menentukan pemenang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz, Fauzi Marzuki dan lain-lain.