HIBURAN

AIM24: Hazama Syukur Dapat Enam Pencalonan - “Berbaloi Gadaikan Duit IVF…”

Mya Amri 15/08/2025 | 03:00 MYT
Penyanyi, Hazama menyatakan rasa bersyukur dan gembira apabila menerima lima pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menerusi album Pujangga.

Berbaloi gadaikan duit IVF

Menurut Hazama, pencalonan itu merupakan satu ‘hadiah’ yang sangat istimewa kerana pengorbanan yang dilakukan oleh dia dan isterinya iaitu pengarah muzik, Genervie Kan untuk menghasilkan album itu sangat luar biasa.

Malah kata Hazama lagi, mereka telah sama-sama bersetuju untuk menggunakan wang simpanan yang sepatutnya diperuntukkan bagi tujuan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata.

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur, hasil usaha, kerja saya bersama pasukan dilihat oleh industri. Saya merasakan ini adalah satu berita gembira untuk saya.

“Berbaloi gadaikan duit IVF sebab saya buat album itu selain menggunakan dana saya laburkan duit sendiri.

“Duit itu asalnya kami merancang untuk digunakan semasa membuat IVF tetapi masa buat album itu saya kata tak mengapalah, bukan selalu dapat buat album, jadi saya letakkan semua duit untuk tujuan itu.

“Jadi album ini dianggap anggap sebagai ‘baby’ kami. Alhamdulillah, apabila tercalon ini saya sudah cukup rasa gembira,” ujarnya.


Hazama berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sidang media pengumuman pencalonan akhir AIM24 bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Khamis.

Secara keseluruhannya Hazama menerima enam pencalonan di AIM24 iaitu Lagu Rock Terbaik (3), Vokal Lelaki Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.

AIM24 bakal berlangsung pada 13 September ini di Arena of Stars Genting Highlands, Pahang dan bersiaran secara langsung di saluran RTM.
#Hazama #AIM24