HIBURAN

AIM24 Kembali Dengan 3 Kategori Baharu, Ganjaran Lebih Besar & Pengiktirafan Berterusan Terhadap Keunggulan Muzik Malaysia

Asyikin Mayudin 04/06/2025 | 07:55 MYT
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Acara anugerah muzik paling berprestij dan lama bertapak di negara ini yang telah mengangkat martabat seni muzik tempatan sejak 1993.

AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, pukul 9 malam, dan akan disiarkan secara langsung oleh RTM, penyiar rasmi AIM24.

Selepas tiga tahun tidak dianjurkan, AIM24 kembali dengan tiga kategori baharu selaras dengan kepelbagaian dan kekayaan landskap muzik Malaysia:

Lagu Perpaduan Terbaik

Mengiktiraf karya muzik yang memupuk nilai perpaduan, inklusiviti dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan bahasa.

Lagu Tradisional Terbaik

Menghargai ciptaan yang berakar umbi daripada warisan muzik tradisional Malaysia, sekaligus

melestarikan identiti dan budaya tempatan.

Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik

Menonjolkan kolaborasi rentas negara yang menampilkan artis Malaysia bersama rakan kolaborasi antarabangsa dalam mengembangkan bakat ke peringkat global.

Penambahan ini mencerminkan komitmen AIM dalam menjunjung prinsip kepelbagaian, warisan budaya, keterangkuman, dan pengiktirafan antarabangsa untuk industri muzik Malaysia.

Sokongan Kerajaan Meningkat: RM700,000 Dana DKK daripada Kementerian Komunikasi Malaysia

Sebagai dorongan besar kepada industri, Kementerian Komunikasi Malaysia akan memperuntukkan RM700,000 kepada sebelas (11) pemenang kategori AIM24.

Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda berbanding RM320,000 yang diberikan kepada empat pemenang pada AIM23.

Dana ini merupakan sebahagian daripada program Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV) untuk menyokong penerbitan, promosi dan pengedaran kandungan kreatif yang bernilai tinggi dari segi komersial dan seni.

Dana akan disalurkan melalui syarikat rakaman pemenang bagi memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik.

“AIM24 meneruskan usaha kami dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik. Penambahan kategori seperti ‘Lagu Perpaduan Terbaik’ dan ‘Lagu Tradisional Terbaik’ mengangkat warisan budaya pelbagai kaum Malaysia.

“Manakala kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ meraikan kejayaan artis kita yang mencipta nama di peringkat antarabangsa,” kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24.

Dalam pada itu, Rosmin turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Venturess atas sokongan melalui dana DKK kepada bakal pemenang.

“Kami juga amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui dana DKK kepada pemenang AIM24.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan

global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi

acara anugerah muzik utama negara ini,” tambahnya.

Rosmin kemudiannya mengumumkan tempoh pencalonan, kriteria kelayakan, kategori anugerah dan metodologi penghakiman:

Tempoh Pencalonan dan Kelayakan

Pencalonan AIM24 dibuka kepada lagu/album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Penyerahan pencalonan AIM24 oleh ahli RIM akan dibuka pada hari Rabu, 4 Jun 2025 dan akan ditutup pada hari Jumaat, 4 Julai 2025 pukul 5.00 petang.

Borang pencalonan yang berkaitan boleh diisi dan diserahkan di atas talian aim1.org.my/online-submission-2025/

Senarai Penuh 31 Kategori AIM24 adalah seperti berikut:

KATEGORI UTAMA

1. ARTIS BARU TERBAIK

2. VOKAL LELAKI TERBAIK

3. VOKAL WANITA TERBAIK

4. VOKAL KUMPULAN TERBAIK

5. KUGIRAN TERBAIK

6. VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK7. VIDEO MUZIK TERBAIK

8. RUNUT BUNYI (OST) TERBAIK DI DALAM FILEM/DRAMA

9. LAGU ROCK TERBAIK

10. LAGU POP TERBAIK

11. LAGU RAP/HIP HOP TERBAIK

12. LAGU POP ELEKTRONIK/DANCE TERBAIK

13. LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK

14. LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK

15. LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK

16. LAGU MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS LUAR NEGARA

17. KOLABORASI ARTIS TEMPATAN BERSAMA ARTIS/KOMPOSER LUAR NEGARA TERBAIK

18. LAGU NASYID TERBAIK

19. LAGU ETNIK TERBAIK

20. LAGU PERPADUAN TERBAIK

21. LAGU TRADISIONAL TERBAIK

22. ALBUM TERBAIK

23. LAGU TERBAIK

ANUGERAH KHAS

24. ANUGERAH SRI WIRAMA

KATEGORI PRA-ANUGERAH

25. KULIT SINGLE/ALBUM TERBAIK

26. RAKAMAN ALBUM TERBAIK

27. RAKAMAN LAGU TERBAIK

28. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU

29. LAGU PALING TINGGI DI STRIM

30. VIDEO MUZIK RASMI PALING TINGGI DITONTON DI YOUTUBE

31. LAGU PALING TINGGI DITONTON DI TIKTOK

Proses Penghakiman

Seperti amalan sebelum ini, penjurian akan dikendalikan oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar- pakar industri muzik tempatan yang dihormati, diketuai oleh Ketua Juri yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM.

Markah yang diberikan oleh para juri akan diaudit oleh juruaudit yang dilantik sebelum keputusan dikeluarkan dan diumumkan.

Penerima Anugerah Sri Wirama pula akan dipilih oleh Majlis RIM.

Pengumuman lima (5) calon akhir AIM24 dijangka pada Ogos 2025.

#Penyanyi #muzik #Baharu #Kategori #AIM24