HIBURAN

Aiman Ameer Bergegas Pulang Ke Johor, Bapa Kritikal Di ICU Akibat Serangan Jantung - “Doktor Kata Macam Tiada Harapan”

Khairil Khusyairi 18/06/2025 | 08:50 MYT
Pelakon meningkat naik, Aiman Ameer terpaksa bergegas pulang ke Johor Bahru selepas menerima berita mengejutkan bahawa bapanya telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat serangan jantung.
Menerusi perkongsian di Instagram, Ameer memaklumkan dia menerima panggilan kecemasan daripada kembarnya yang memaklumkan keadaan bapanya yang semakin kritikal.
“Balik shooting semalam, tiba-tiba saya dapat panggilan dari kembar bahawa ayah kami telah dimasukkan ke ICU kerana beliau kena serangan jantung. Ambulans ambil di rumah and it’s so sad.
“Sleepless dari semalam until now, walau penat lelah masih dirasai, tangan tidak berhenti berdoa dengan harapan Allah berikan kudrat dan semangat pada beliau untuk berjuang demi meneruskan kehidupan,” tulisnya.
Lebih memilukan, Juara Hero Remaja 2023 itu turut berkongsi kenyataan doktor yang memaklumkan bahawa peluang untuk bapanya sembuh sangat tipis.
“Doktor kata ‘macam tiada harapan’ malam semalam, tetapi rahsia Allah siapa yang tahu?,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, pelakon Kelas Tahanan Cikgu Hiragi itu sempat menitipkan nasihat agar sentiasa mengambil berat tentang kesihatan diri dan orang tua.
“Perasan tak nowadays makin ramai orang yang jatuh sakit? Please jaga kesihatan and check on your parents daily, mereka dah tua, kita masih muda dan bakal tua juga,” tutupnya.
#Ayah #ICU #Serangan Jantung #Johor Bahru #Aiman Ameer