UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Hiburan

Aina Abdul Bersyukur Nama Semakin Dikenali

Kamaruddin Razal 19/08/2019 | 23:38 MYT
Penyanyi baru berbakat besar, Aina Abdul bersyukur namanya semakin dikenali peminat.
Menurut Aina, dia tidak akan pernah putus asa meskipun perlu mengambil masa yang lama untuk dikenali ramai.
"Semenjak muncul dengan single Sumpah, secara perlahan-lahan peminat dapat menerima kehadiran saya dalam industri.
"Biarpun tidak secara mendadak, saya rasakan sendiri maklum balas positif ramai pihak. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur.
"Saya juga aktif menyanyikan lagu cover version dan memuat naik video terbabit di laman YouTube dan Instagram.
"Ia menjadi salah satu cara untuk saya dekat dengan peminat apabila saya menyanyikan lagu yang telah mereka pilih menerusi laman sosial.
"Syukur kerana baru-baru ini lagu cover Datuk Seri Siti Nurhaliza yang saya nyanyikan, Purnama Merindu sudah mencecah lebih satu juta tontonan di laman YouTube dan saya juga mula mendapat perhatian peminat dari Indonesia," kata penyanyi yang turut berkebolehan mencipta lagu ini kepada Gempak.
Dalam perkembangan lain, nama Aina turut tercalon dalam senarai Top 5 Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH32) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana ini melebihi jangkauan saya. Saya memang langsung tidak mahu fikirkan mengenai populariti kerana saya mahu dikenali dengan karya berkualiti.
"Nampaknya, rezeki berpihak kepada saya dan ini menjadi petanda baik yang nama saya semakin dikenali. Tercalon Top 5 pun sudah membuatkan saya bersyukur dan gembira.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang tak henti menyokong, terutamanya keluarga, rakan-rakan serta peminat yang percaya dengan bakat saya semenjak dahulu lagi," katanya lagi.
#Aina Abdul
;