HIBURAN
Aina Abdul & Fadhilah Intan Bersatu Dalam Arah Cinta Sejati - “Lagu Ini Menjadi Permulaan Kepada..”
Penyanyi, Aina Abdul dan Fadhilah Intan akhirnya bergabung tenaga dalam sebuah kolaborasi menerusi lagu terbaharu mereka berjudul Arah Cinta Sejati.
Jelas Aina, pelancaran lagu Arah Cinta Sejati bersama Fadhilah menjadi permulaan karyanya yang baharu dan berharap akan lebih banyak peluang buatnya untuk melebarkan sayap ke pasaran muzik Indonesia.
“Sudah lama saya tidak melancarkan lagu. Ramai peminat bertanya-tanya bila saya akan tampil dengan karya baharu.
“InsyaAllah lagu ini menjadi permulaan kepada perjalanan karya saya seterusnya. Saya juga berharap ia membuka lebih banyak peluang untuk saya dalam industri muzik Indonesia,” ujar Aina.
Arah Cinta Sejati bukan sekadar lagu cinta biasa namun ia sarat dengan nilai spiritual dan menggambarkan perjalanan seorang manusia dalam mencari dan kembali kepada tuhannya.
Lagu ini mendapat sentuhan komposer terkenal, Hendro Djasmoro yang merupakan pencipta lagu hit Dawai yang dinyanyikan oleh Fadhilah sendiri untuk runut bunyi Air Mata Di Ujung Sajadah.
Menurut Hendro, kolaborasi ini berlaku secara tidak dirancang. Semuanya bermula apabila pasukan Aina Abdul menghubunginya untuk mengadakan pertemuan.
“Saya sudah lama mengagumi Aina Abdul. Saat tim Aina menghubungi saya, saya langsung setuju tanpa ragu. Walaupun tidak dirancang, semuanya berjalan sangat lancar. Ternyata mereka berdua terus tertarik dan bersemangat untuk menjayakannya,” ujar Hendro.
Kekuatan lagu ini turut diperkukuhkan dengan penglibatan dua nama besar dalam bidang muzik iaitu Andre Lizt dan Barsena Bestandhi, yang memainkan peranan penting dalam susunan muzik dan vokal.
Lagu yang telahl dilancarkan secara rasmi pada 6 Jun 2025 bertepatan dengan sambutan Hari Raya Aidiladha, menjadi simbol penyatuan dua diva berbakat dalam satu karya spiritual yang menyentuh hati dan jiwa.