HIBURAN
Aina Abdul Syukur Persembahan Di Konsert Melly Goeslaw Buka Mata Ramai – “Saya Rasa Saya Dah Lama Dibenci Semenjak…”
Penyanyi, Aina Abdul mengakui rasa senang apabila kemunculannya di pentas Konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite baru-baru ini mendapat pujian penonton namun enggan mendabik dada.
Disifatkan sebagai penyelamat konsert tersebut, Aina memaklumkan diva Indonesia, Melly Goeslaw berdepan masalah kesihatan pada malam konsert tersebut sehingga menjejaskan persembahan.
“Saya idolakan Melly Goeslaw, peminat tidak tahu apa yang terjadi di belakang pentas.
“Melly tidak sihat pada malam tersebut, dua ke tiga hari juga dia bertarung dengan kesihatannya.
“Melly sudah berikan yang terbaik, niat kami juga mahu bernyanyi bersama pada malam itu,” katanya kepada Gempak.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media rancangan realiti baharu, Raise The Star Malaysia di Petaling Jaya pada Khamis.
Tambah pelantun lagu Sumpah itu lagi, dia juga terharu apabila kemunculannya itu mendapat respons positif penonton sehingga berjaya mengumpul peminat baharu.
“Saya tak sangka orang komen begitu sebab saya rasa saya dah lama dibenci semenjak kemunculan di AJL sebelum ini.
“Perkara itu memang banyak pengaruhi fikiran saya dalam beberapa bulan ini, jadi saya bawa diri mencari arah baru untuk beri semangat balik untuk berkarya.
“Saya tak sangka, ia perkara baik bagi saya. Kesedihan kita tidak sia-sia, lambat laun hati yang tulus dan jujur akan terima nyanyian saya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Aina dijemput sebagai artis undangan bagi Konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
Namun, rata-rata penonton meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan nyanyian dan persembahan Melly Goeslaw pada malam tersebut.
Must-Watch Video