Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Aina Abdul Terpaksa Nyanyi Lagu Ciptaan Sendiri Gara-Gara...

ZULHILMI JALIL
02/12/2019 01:55 MYT
Penyanyi Aina Abdul mendedahkan bahawa dia belum pernah menerima sebarang lagu yang dihasilkan oleh komposer lain untuk dinyanyikannya.

Justeru, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 26, memberitahu, dia hanya mampu menyanyikan lagu ciptaannya sendiri sahaja buat masa ini.

"Saya tak kenal sesiapa (dalam industri). Saya bukan tak nak menyanyi lagu orang lain. Saya masuk industri semula pun perkenalkan lagu sendiri.

"Setakat ini belum lagi (terima lagu). Tapi, saya alu-alukan apa yang orang nak berikan kepada saya. Saya sentiasa menunggu peluang daripada penulis lirik dan komposer lain," katanya kepada Gempak.

Biarpun begitu, kata Aina dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menyifatkan tugas mendapatkan lagu itu sebagai tanggungjawabnya sendiri.

"Personaliti saya ini sangat introvert, Jadi, saya tak tahu nak mendekati orang macam mana.

"Saya tak terkilan sangat (tak dapat lagu). Mungkin ada sebab mereka tak nampak bakat saya. Itu tugas saya sendiri untuk cari suara saya, identiti saya, saya tak salahkan sesiapa pun.

"Lagipun, saya merasakan sama ada nak beri lagu ataupun tidak, itu adalah subjektif. Kalau dapat alhamdulillah, kalau tak dapat pun tak mengapa," luahnya.

Aina bakal beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 buat pertama kali menerusi lagu Sumpah yang merupakan lagu ciptaannya sendiri.

"Saya harap dengan permulaan ini, saya lebih mengenali komposer lain agar boleh bekerjasama," katanya.

Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu mula menceburkan diri dalam industri muzik selepas menyertai program Mentor Legend pada tahun 2014.
#Penyanyi #Penyanyi #Aina Abdul
;