Ainan Salsabiela Nama Anak Sulung Ainan Tasneem

Rozaimi Zubaidi
Mac 11, 2018 03:41 MYT
Penyanyi Ainan Tasneem memilih nama Ainan Salsabiela Mohamad Ariffudin untuk anak sulungnya yang dilahirkan pada 2 Mac lalu.
Menerusi entri terbaru di Instagram (IG), penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Suka Kamu itu turut menjelaskan maksud di sebalik keindahan nama Salsabila.
"Assalamualaikum semua, nama saya Ainan Salsabiela Binti Mohamad Ariffudin.
"Maksud nama saya ialah 'Mata Air di Syurga', sama maksud lebih kurang dengan nama Ummi saya. Doakan saya menjadi anak yang solehah ya semua.
"Indahnya nama 'Salsabila' ini adalah kerana ianya adalah mata air di syurga, yang akan diberikan kepada orang yang mendekatkan diri kepada Allah (muqarrabin), sedang para abrar (orang yang berbuat baik), maka Allah memberi mereka air yang diberi campuran kafur (air dingin yang baunya wangi) dan zanzabil (air halia yang segar dan wangi)," tulisnya.
Namun sehingga kini, Ainan Tasneem masih belum bersedia untuk mendedahkan wajah bayi perempuannya itu kepada orang ramai.
Rata-rata pengikut IGnya mengucapkan tahniah dan mendoakan agar Ainan dan Salsabiela sihat selalu.
Ainan berkahwin dengan Mohamad Ariffudin Mohammad Swaimi pada 7 Januari tahun lalu.
Penyanyi itu mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari bidang seni selepas berkahwin.
#Ainan Tasneem #Ainan Salsabiela