Sebuah feri yang membawa seramai 547 penumpang dan kru kapal dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut akibat air laut surut petang semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah melakukan usaha pemindahan 547 orang penumpang dan kru feri dari Kuala Kedah ke Langkawi yang terkandas di Muara Kuala Kedah akibat air surut pada jam 4.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, terdapat beberapa penumpang mengalami sesak nafas dan telah diberi bantuan awal pasukan Medical Evacuation (MEDEVAC).

“Operasi pemindahan penumpang dan kru feri sedang dilakukan ketika ini dengan menggunakan aset bot Maritim.

“Aset terlibat ialah Bot Perkasa 1224 Maritim Malaysia serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan berikutan hanya bot kecil sahaja boleh merapat di feri tersebut dalam usaha untuk membawa penumpang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Noor Azreyanti berkata, sehingga kini proses membawa keluar kesemua penumpang feri masih giat dilakukan.

Katanya, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi juga telah dimaklumkan dan koordinasi lanjut sedang dilaksanakan bagi memastikan kesemua penumpang selamat dipindahkan ke darat.

Perkembangan semasa kejadian katanya akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

Sumber: Awani