SUKAN

Air Mata Johan Ghazali Tumpah Selepas Tewas Kepada Diego Paez - “Jojo Tak Nak Bagi Alasan Banyak”

Khairil Khusyairi 08/06/2025 | 02:50 MYT
Petarung muay thai negara, Johan 'Jojo' Ghazali, tidak dapat menahan air matanya apabila tewas kepada lawan berdarah Colombia-Amerika Syarikat, Diego Paez, dalam pertarungan ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok semalam.
Menerusi sebuah video temu bual bersama Astro Arena di aplikasi X, jaguh muay thai negara itu tidak dapat memberi ulasan apabila ditanya wartawan mengenai perlawanan tersebut.
“Pertama sekali, terima kasih semua.
“Jojo tak nak bagi alasan banyak, terima kasih semua dan jumpa dekat fight yang akan datang, Insya-Allah,” ujar Jojo sebak.
Paez, 31, yang gagal ujian hidrasi semalam, memperoleh kemenangan 2-1 berdasarkan keputusan juri.
Paez yang mahir menggunakan kaki mengatur serangan dibalas dengan pukulan daripada Johan. Kedua-dua petinju itu melakukan pertahanan dengan sempurna.
Pusingan kedua menampilkan aksi agresif daripada Jojo untuk mengutip mata dan meraih perhatian penonton.
Memasuki pusingan ketiga, Jojo seperti menerima gangguan akibat kecederaan mata, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk kembali bertempur.
Selepas diambil kira keputusan juri, Paez memperoleh kemenangan menerusi pungutan mata 2-1.
Ia sekali gus, menyaksikan Jojo kekal dengan rekod enam kemenangan sepanjang bertempur dalam One Championship.
#Menangis #Sebak #Jojo #ONE Championship #Johan Ghazali #One Fight Night