Penyanyi dan peserta Dansa Dan Sing, Shiha Zikir mendedahkan dia mengalami serangan panik (panic attack) beberapa kali sebelum ini.

Menurut Shiha, serangan itu selalunya datang mengejut dan mengakibatkan dia mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Saya pernah mengalami serangan panik beberapa kali sebelum ini, lama juga saya tidak mengalaminya, tetapi sejak kebelakangan ini, ia datang menyerang kembali.

"Dua minggu lepas, ketika saya sedang tidur, saya mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan rasa macam nak mati.

"Air mata saya mengalir dengan sendirinya ketika itu menahan kesakitan, mujurlah ada mak dan abang saya yang menolong," ujarnya.

Shiha berkata demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas tamatnya konsert separuh akhir Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor malam tadi.

Shiha yang diiringi Team Squad dalam pertandingan itu menambah, serangan itu mungkin disebabkan oleh terlalu banyak berfikir dan tidak mendapat rehat yang cukup.

"Saya ada berjumpa doktor, setakat ini saya tidak perlu mengambil sebarang ubat. Serangan panik ini mungkin disebabkan saya selalu banyak berfikir dan kurang rehat sejak kebelakangan ini.

"Jadual latihan dalam Dansa Dan Sing ini pun sibuk, saya selalu pulang ke rumah pukul lima pagi selepas menjalani latihan, saya pula jenis orang yang sentiasa utamakan kesempurnaan.

"Orang ramai tak tahu apa yang saya dan anggota kumpulan alami, apapun, saya akan lakukan yang terbaik dalam pertandingan ini," tambahnya.

Selain Shiha, lima peserta lain beserta anggota kumpulan masing-masing yang mara ke konsert final Ahad ini adalah Wani Kayrie, Sophia Liana, Chubb-E, Waris dan Raja Syahiran.



Dalam Dansa Dan Sing, koreografer terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen, Datuk Rizalman telah diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap.

Sementara itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu untuk bergandingan bersama mereka.

Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).

Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!