Semua sedia maklum, qasidah antara satu teknik penyampaian paling susah. Bukan semua mampu berqasidah dengan baik, begitu juga jika membabitkan taranum dalam pembacaan ayat suci Al-Quran.

Namun jika anda sukakan pembawakan qasidah dan bacaan ayat-ayat Al-Quran dalam bentuk lagu dan nasyid, maka anda wajib hadir ke Konsert Makan Malam 'Qasidah Night' April ini.

Konsert ini bakal menghimpunkan tiga nama besar iaitu Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009, Sharifah Khasif, Kumpulan nasyid popular, Raihan serta raja pop Malaysia Jamal Abdillah. Hebat bukan?



Menurut Sharifah Khasif, hasrat untuk berkolaborasi bersama Raihan dan Jamal Abdillah mula tercetus sewaktu dia dan anggota Raihan menaiki pelayaran 'cruise' sekitar Julai tahun lalu.

Menurutnya, itu adalah pertama kali dia melihat kumpulan Raihan menyanyi secara langsung.

"Nyanyian harmoni, gaya penyampaian yang matang serta aura mereka berjaya menyentuh hati saya sehingga membuatkan air mata ini mengalir. Sejak itu saya amat yakin dan teringin sangat untuk berkerjasama dengan Raihan," katanya pada sidang media di restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur.



Jelasnya, gabungan tiga penyanyi ini akan dimulakan dengan konsert makan malam di Sime Darby Convention Center. Bukit Kiara Kuala Lumpur 27 April ini pada jam 8 malam.

"Namun kami turut merancang untuk mengadakan sesi persembahan bergerak Qasidah Night di beberapa negeri seperti Johor Bahru, Ipoh dan Alor Star. Ia kemudian akan disusuli dengan satu konsert besar di Istana Budaya yang akan berlangsung antara 5 hingga 9 September ini," katanya.