Fenomena air pasang kini menjadi kebimbangan orang ramai dan tentunya membatasi aktiviti riadah buat sementara waktu.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk tidak menjadikannya sebagai satu tempat untuk bersuka ria demi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, terdapat kemungkinan berlaku perkara buruk walaupun sesuatu aktiviti dilakukan untuk riadah atau tujuan berhibur.

"Masyarakat kita beranggapan banjir (termasuk air pasang) itu bukan bencana kerana keghairahan untuk bermain air.

"Kita (masyarakat) seharusnya peka dengan keadaan sekeliling kerana apa yang pasti, kita sebagai penduduk di kawasan itu lebih tahu keadaan sekeliling.

"Sebagai contoh, kita tinggal di suatu kawasan penempatan, kita tahu apa risiko yang ada sekiranya terjadi bencana, jadi elak berbuat demikian," katanya seperti yang dipetik dari BERNAMA.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya tidak boleh melarang mana-mana individu daripada terlibat dengan aktiviti bahaya sebegitu, namun berharap nasihat yang diberikan itu dapat membantu sebelum terlambat.

Terdahulu, beberapa negeri seperti Kedah, Perak, Selangor dan Johor dilaporkan mengalami fenomena air pasang sejak Khamis lalu.

Sumber: BERNAMA

Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.