Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

AirAsia Perkenal Nursing Cover Untuk Juruterbang & Kru Kabin Baru Jadi Ibu

Amri Hassan
18/05/2024 13:57 MYT
Sempena meraikan Hari Ibu, AirAsia mengumumkan penambahan kain penutup penyusuan kepada kit pakaian seragam juruterbang dan kru kabin yang baru bergelar ibu.

Kain penutup ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Moms-on-Duty yang dilancarkan pada tahun ini.

BERITA TRENDING: Isu Menyusu Anak Di Public, Kak KM: “Biasalah, Kalau Kau Dah Tak Glamour Kan…Nak Tumpang Populariti Kak KM, Kesian Sedeh!”


Ketua Pegawai Sumber Manusia AirAsia, Intan Shahira Mohd Shahru berkata, penambahan bagi pakaian seragam tersebut turut menyokong inisiatif keseragaman, kesamarataan, dan inklusif (DEI) syarikat penerbangan itu untuk mencipta polisi tempat kerja yang lebih kukuh bagi menyokong peranan kakitangan wanita yang bergelar ibu dalam operasi penerbangan.

"Wanita yang bertugas dalam operasi penerbangan menghadapi cabaran unik di mana mereka berada di persekitaran kerja yang tidak konvensional.

"Penyesuaian semula kepada waktu bekerja selepas bersalin di samping memikul tanggungjawab sebagai ibu baharu boleh memberi kesan besar kepada kesejahteraan mereka, terutamanya kepada yang masih menyusukan anak.

"Justeru, kami mengambil langkah proaktif sejak tahun lepas untuk mengkaji polisi dan amalan bagi memudahkan mereka kembali bertugas di tempat kerja," katanya.

Antara penemuan daripada perbincangan kumpulan fokus yang dijalankan dengan para ibu yang bertugas sebagai juruterbang dan kru kabin adalah masa yang terhad untuk menyediakan susu badan sebelum, semasa, atau antara penerbangan selain kekurangan privasi dalam pesawat.

Akibatnya, sesetengah daripada mereka terpaksa memanjangkan cuti bersalin tanpa bayaran atau meninggalkan kerjaya tersebut. Ada juga yang mengalami pandangan yang tidak selesa daripada para tetamu atau rakan sekerja.

Intan menambah: "Kempen ini amat penting bagi AirAsia untuk menyokong para ibu dan menyatakan bahawa menjadi seorang ibu yang bekerjaya adalah normal. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk mencipta persekitaran kerja yang selamat dan kondusif untuk para Allstars."

Buku panduan

Bagi menangani isu yang dinyatakan, inisiatif Moms-on-Duty menyediakan buku panduan untuk para ibu yang kembali bertugas mengenai pelbagai perkara seperti bagaimana untuk memberitahu rakan sekerja apabila mereka memerlukan masa dan privasi bagi menyediakan susu.

Buku panduan itu juga termasuk cara untuk mencari sokongan dalaman mengenai aspek kesihatan dan pemakanan. Selain itu, sehelai pakaian bayi AirAsia melengkapkan set tersebut sebagai hadiah kepada bayi mereka.

Pada tahun 2022, AirAsia telah memanjangkan cuti bersalin bagi semua kakitangannya di Malaysia dari 60 hari kepada 98 hari. AirAsia juga telah mengoperasikan pusat jagaan kanak-kanak di ibu pejabatnya, RedQ, pada tahun 2018.

Pusat penjagaan ini menerima kanak-kanak yang berumur 11 bulan hingga 6 tahun dan kini menawarkan jagaan bagi 80 orang anak-anak Allstars yang bertugas di ibu pejabatnya.

Dalam Laporan Kelestarian 2023 yang diterbitkan pada minggu lalu, AirAsia melaporkan hasil yang positif dalam usahanya untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam peranan kepimpinan dan STEM.

Pencapaian ini termasuk peningkatan dalam peratusan wanita yang menduduki jawatan kepimpinan kepada 32 peratus daripada 24 peratus pada tahun sebelumnya.

Juruterbang wanita juga meningkat kepada 7 peratus daripada 6.6 peratus dan wanita dalam peranan IT kepada 23.9 peratus daripada 17.7 peratus pada tahun 2022.

PILIHAN PEMBACA: “Hati Tak Tenang Fikir Daddy Dalam Nursing Room...”- Kaka Azraff

#KRU #Juruterbang #AirAsia #Menyusu #Kabin #Nursing Cover #Mom On Duty #Nursing #Publik