Laman Utama

Aisha Retno Cerita Keperitan Bertepuk Sebelah Tangan Dalam Cinta Denganmu

gempak
Asraf Aided
19/01/2021
01:20 MYT
Sponsor Banner
Aisha Retno Cerita Keperitan Bertepuk Sebelah Tangan Dalam Cinta Denganmu
Penyanyi Aisha Retno, 20, yang semakin meningkat naik kini tampil dengan single terbaharu berjudul Cinta Denganmu.
Buah tangan terbaharunya itu mengisahkan tentang percintaan menyedihkan; cinta seorang wanita tidak berbalas.
"Lagu ini mengisahkan tentang cinta seorang wanita tidak diterima si lelaki, lambat laun dia terpaksa akur cintanya bertepuk sebelah tangan meskipun sudah cuba berusaha mengejar cintanya.
"Mesej lagu ini adalah, cinta itu tidak perlu dipaksa dan harus hadir dengan sendiri, kepada pasangan bercinta pula, mereka seharusnya mempunyai kesefahaman bersama.
"Tidak dilupakan, bukan semua pasangan bercinta mampu mengecap kebahagiaan yang diidam," katanya.
Dalam pada itu, Aisha juga teruja kerana mendapat kepercayaan menyanyikan naskah sentuhan Farouk Roman dan Amylea Azizan itu.
“Alhamdulillah proses pembikinannya sangat lancar dan dipermudahkan. Bekerja dengan Farouk dan Amylea adalah satu penghormatan buat saya.
"Seminggu sebelum rakaman, Farouk memberikan demo lagu itu kepada saya selain banyak berbincang tentang bagaimana saya mahu menyesuaikan diri dengan lagu berkenaan.
“Walaupun Farouk merupakan satu nama berpengaruh, dia masih lagi terbuka menerima pendapat orang baru seperti saya. Sewaktu rakaman, saya mendapat tunjuk ajar daripada Jat Lobo yang berperanan sebagai pengarah vokal. Dialah yang membantu saya dari segi penjiwaan demi memastikan penyampaian nyanyian saya berkesan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Aisha juga tidak mengambil mudah dan hanya sekadar mahu menyanyikan lagu ini tanpa belajar selok-belok liriknya.
Dia mengakui kurang pengalaman dalam bercinta menjadi cabaran terbesar yang harus disahut. Menurutnya, mujur kehadiran Jat Lobo banyak membantu semasa proses rakaman.
“Secara peribadi, cabaran terbesar semestinya untuk mendalami liriknya. Saya sendiri belum pernah mengalami keperitan dalam percintaan sebagaimana kisah lagu ini.
"Saya akui agak ambil masa juga untuk saya benar-benar dapat menghayatinya. Alhamdullilah, Jat Lobo sangat membantu sepanjang proses itu,” tuturnya menutup bicara.
Terdahulu, Aisha pernah menghasilkan beberapa lagu termasuk Mengikat Jiwa dan Terima Kasih (duet bersama Yuka Kharisma).
Lagu Mengikat Jiwa benar-benar membuka mata peminat untuk mengikuti kerjaya nyanyiannya. Semakin meraih pengikut di media sosial, Aisha juga sentiasa memuat naik video nyanyian semula lagu artis lain di Instagram.
Cinta Denganmu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live