Laman Utama
Aisha Retno Dapat Ilham Lagu Sutera Sambil Ditemani Kucing - "Ia Tentang Permaisuri Jawa Yang Hatinya Dilukai Lelaki"
Penyanyi yang kian meningkat naik, Aisha Retno tampil dengan buah tangan terbaru buat para peminat menerusi single Sutera.
Mendengar pada tajuknya sahaja, pasti ramai yang dapat meneka bahawa penceritaan lagu ini disampaikan secara metafora. Gadis berdarah campuran Malaysia-Indonesia itu akui bahawa Sutera berkisarkan kisah seorang permaisuri Jawa yang pernah dilukai oleh beberapa orang lelaki pada masa lalu.
Penceritaan Sutera tidak hanya terhenti disitu kerana ia turut disulami dengan mesej untuk memperkasakan kaum wanita.
"Lagu ini adalah lambang seorang permaisuri Jawa. kita tahu sutera sifatnya lembut, agung dan amat dihargai oleh ramai orang. Bagaimanapun, kalau dirosakkan kain itu, habislah tercemar keagungannya. Begitulah juga dengan permaisuri Jawa itu, kalau ada orang yang pernah sakiti hatinya di masa lalu, maka tercemarlah juga perasaannya.
"Kita kena betul-betul jaga kain sutera, begitulah mesej lagu ini yang disampaikan secara metafora. Permaisuri Jawa ini kerap disakiti oleh beberapa jejaka pada masa lalu. Di bahagian korus lagu ini pula memberitahu untuk lupakan pengalaman pahit yang pernah dihadapi dan teruskan kehidupan menjadi seorang yang lebih baik.
"Jadi, lagu ini mempupuk semangat cinta akan diri sendiri dan pemerkasaan wanita. Sebagai wanita, kita juga boleh berdiri teguh dengan kaki sendiri. Tidak dinafikan wanita perlukan seorang lelaki, tapi apapun diri sendiri mestilah kuat mengharungi kehidupan," katanya.
Sutera gabung etnik Jawa dan EDM
Berbicara tentang kelainan yang ditampilkan dalam Sutera, Aisha mengatakan gabungan elemen etnik Jawa dan muzik moden EDM menjanjikan perbezaan berbanding lagu-lagunya yang terdahulu.
"Saya banyak memasukkan elemen-elemen etnik dalam lagu ini, tentunya berbeza kerana sebelum ini saya selalu lancarkan lagu genre balada sahaja. Tapi kali ini, saya tampil dengan genre berbeza dan turut menyelit elemen tarian dalam muzik videonya.
"Lagu ini sangat 'catchy', elemen etnik benar-benar membuatkannya istimewa. Di sebalik bunyi etnik atau tradisional itu turut diselitkan elemen moden seperti EDM. Gabungan dua genre inilah yang menambah warna kepada lagu ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu berkongsi tentang cabaran menghasilkan pertaruhan terbarunya itu. Menurutnya, dia perlu mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa.
"Saya habis hasilkan lagu ini dalam masa tiga hari sahaja termasuk proses penghasilan (producing). Selain itu, saya juga mencabar diri menerusi lagu pop etnik yang sangat berbeza berbanding apa yang orang dah lihat dalam lagu-lagu saya sebelum ini," jelasnya.
Aisha Retno dapat ilham ditemani kucing
Apabila seorang anak seni sedang berkarya, sudah tentu akan ada momen istimewa yang dilalui, begitu juga dengan Aisha yang ditemani kucing-kucing kesayangannya ketika mencari ilham untuk menulis naskah Sutera.
Kemudian, pembabitan MFMF selaku produser pula berjaya memantapkan lagi hasil akhir karya tersebut.
"Momen istimewa ketika menghasilkan lagu ini adalah saya ditemani oleh kucing-kucing saya. Saya duduk di piano dalam masa satu hari (berselang waktu rehat seketika) bersama kucing-kucing itu.
“Saya sangat berpuas hati dengan sentuhan MFMF, mereka sangat pantas buat kerja sebagai produser, siap dalam masa satu hari sahaja," katanya lagi.
Oleh demikian, Aisha berharap single Sutera mendapat putaran radio selayaknya dan mampu menghiburkan hati para peminat.
"Saya tak minta banyak, saya harap peminat terhibur dengan karya saya. Semoga lagu ini mendapat sambutan hangat dan boleh dijadikan trend atau cabaran di aplikasi TikTok, peminat boleh menari bersama apabila mendengar dan menonton muzik video Sutera.
"Saya juga berharap agar lagu ini diterima serta dimainkan di corong-corong radio. Saya pun tak sabar untuk menyanyikan lagu ini secara live dalam mana-mana persembahan nanti," katanya menutup bicara.
‘Sutera’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Spotify, Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, YouTube dan YouTube Music.