HIBURAN
Aisha Retno Impi Kembalikan Era Tradisional Siti Nurhaliza - “Saya Yakin Ramai Yang Rindu…”
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno meluahkan hasratnya untuk mengembalikan era tradisional Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut pelantun lagu Samudera itu, dia berbesar hati sekiranya diberikan peluang untuk mencipta lagu bergenre tradisional buat figura yang sangat dihormatinya.
"Kalau cakap lagu lain selain daripada lagu raya, mesti saya mahu dan saya yakin ramai yang rindu Tok Ti pada zaman era tradisional.
“Saya juga tengah berkecimpung dalam genre tradisional dan saya suka tulis genre sebegini, kalau Tok Ti sudi InsyaAllah saya akan buat kerana kita akan memartabatkan genre tradisonal bersama dengan orang yang expert dengan genre sebegini," katanya ketika dihubungi Gempak.
Bercakap mengenai lagu raya yang bakal dilancarkan, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam meluahkan rasa syukur kerana Siti Nurhaliza sudi menerima naskah ciptaannya.
"Saya sangat gembira dan bersyukur, Datuk Seri Siti Nurhaliza sudi untuk menerima naskah saya yang tidak seberapa ini, sebab saya yakin mesti ramai juga yang menghantar lagu kepadanya untuk raya tahun ini.
"Ini semua adalah rezeki daripada Allah. Dia juga menerima lagu ini kurang daripada 24 jam dan saya juga sebenarnya tidak meletakkan harapan yang tinggi sebab saya yakin ramai sebenarnya yang menghantar lagu kepadanya,” ujarnya.
Berkongsi pengalamannya merakam lagu bersama Siti Nurhaliza, Aisha menyifatkan sesi rakaman tersebut berjalan lancar dan mengambil masa kurang daripada dua jam.
Tambah Aisha, momen itu menjadi lebih bermakna kerana projek ini turut melibatkan adiknya, Radityo, yang bekerjasama dengannya dalam penghasilan lagu tersebut.
"Sesi rakaman bersama sangat smooth kami selesaikan rakaman lagu tersebut lebih kurang daripada 2 jam . Suara Tok Ti macam biasalah tak perlu buat apa-apa memang dah meletop.
"Sepanjang sesi rakaman tu saya sebak dan cuba menahan air mata, selepas Tok Ti pulang baru saya menitiskan air mata sebab dia dalah insan yang membuatkan saya mahu berada dalam industri ini, dan bila dapat momen ini ia menjadi satu kenangan yang indah buat saya.
"Saya menangis juga sebab saya lakukan projek ini bersama-sama dengan adik saya, Radityo jadi ia ibarat projek adik beradik untuk membuat sebuah lagu untuk seseorang yang sangat berpengaruh dalam industri muzik. memang sangat-sangat sebak,” tambahnya.