HIBURAN

Aisha Retno Nafi Lagu 'Tak Adil' Tiru Happier Than Ever - “Kalau Kita Dengar Balik Kedua-Duanya Sangat…”

Asyraf Roslan 11/07/2025 | 11:55 MYT
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa lagu terbaharunya, Tak Adil sama dengan lagu nyanyian, Billie Eilish iaitu Happier Than Ever.

Jelas Aisha, karya terbaharunya itu mungkin mempunyai sedikit inspirasi daripada lagu tersebut namun penceritaan untuk kedua-dua naskah itu sangat-sangat berbeza.

“Saya banyak mendapat komen seperti ini sejak saya keluarkan lagu Sutera lagi tapi bagi saya ia mudah kalau kita belajar muzik sebab melodi ada sampai tujuh sahaja jadi untuk rombak ia hanya dalam area situ sahaja.

“Genre pop rock memang begitu dan mungkin sebab saya letakkan jeritan dalam lagu itu ia menyebabkan ramai yang beranggapan lagu itu sama tapi kalau kita dengar balik kedua-duanya sangat berbeza, terinspirasi itu ada tapi bukanlah 100 peratus sebab storyline sangat berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Sutera itu juga menegaskan tidak akan sesekali menafikan sekiranya lagu tersebyt mempunyai persamaan.

“Saya menafikan lagu saya sama seperti yang diperkatakan tapi kalau benar sama saya akan cakap ia sama,”tambahnya.

Lagu Tidak Adil merupakan ciptaan bersama Aisha dan adiknya, Radityo.
#Aisha Retno #Tak Adil #Tiru Lagu