Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Aisha Retno Pelihara 30 Ekor Kucing, Keluar Kos Belanja Makan RM400 - “Kucing Bantu Saya Hilangkan…”

Izwan Isa
17/02/2022 03:50 MYT

Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri dalam melampiaskan tekanan. Ada yang keluar bersiar-siar untuk menghirup udara segar dan ada juga yang lebih gemar melakukan aktiviti dalam ruang tertutup seperti menonton wayang.

Namun, lain pula kisahnya dengan peserta Big Stage 2022, Aisha Retno. Aisha atau nama penuhnya, Sharifah Aisha Retno mengakui memelihara 30 ekor kucing dan menjadikan haiwan comel itu sebagai terapi ketika dia ketiadaan idea untuk menulis lagu.

“Ya benar, saya memelihara 30 ekor kucing di rumah. Kalau nak tahu, apabila saya sedang menulis lagu dan tidak mempunyai idea untuk berkarya, haiwan kesayangan saya ini yang menjadi sumber inspirasi.

“Jujurnya, ia bukanlah satu hal yang membebankan. Bagi saya, kucing juga dapat membantu saya untuk hilangkan tekanan. Tengok je muka kucing, hati jadi tenang. Sokongan tidak hanya daripada manusia tetapi juga daripada haiwan peliharaan,” katanya kepada Gempak.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu, pada awalnya, dia hanya memelihara dua ekor kucing selepas menemui haiwan-haiwan tersebut terbiar di luar.

Namun, siapa sangka, daripada dua ekor, kucing-kucing kesayangan Aisha membiak sehingga 30 ekor sehingga masa ini.

“Memang awalnya kucing saya hanya dua ekor tetapi lepas beranak bertambah sampai 30 ekor. Ada juga terfikir nak beri pada orang tetapi sayang.

“Justeru, saya buat keputusan untuk pelihara kesemua kucing-kucing saya,” katanya.

Ditanya berapakah kos bulanan yang dibelanjakan bagi memelihara kesemua 30 ekor kucingnya itu, Aisha berkata: “Saya peruntukkan sebanyak RM400 sebulan untuk kos makanan sahaja. Kos-kos perubatan dan sebagainya tidak termasuk.

“Saya buat sendiri sahaja makanan untuk kucing. Bahan-bahan mentah seperti ikan saya beli di pasar borong,” katanya lagi.

Minggu lalu, Aisha berjaya memukau juri dan penonton di rumah selepas menyanyikan lagu Lalisa nyanyian asal Lisa Blackpink. Hasil daripada persembahan tersebut, Aisha berjaya menduduki tangga ketiga dengan markah sebanyak 75.2%.

Pada minggu ini, Aisha bakal membawakan sebuah lagu balada iaitu Kesetiaan nyanyian asal allahyarham Siti Sarah.

Selain Aisha, 10 lagi peserta yang bakal meneruskan perjuangan menerusi Big Stage 2022 ialah Tuah Adzmi, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa Marieylla dan Ajoi Zainal.

Big Stage 2022 bersiaran bermula 6 Februari di Pusat Konvensyen, Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran Astro Ria (104).

#Kucing #Big Stage #Inspirasi #Aisha Retno #Big Stage 2022