Laman Utama
Aisha Retno Punya Cara Tersendiri Hargai Peminat, Adakan Showcase Mini Sebagai Tanda Terima Kasih
Sejak kemunculannya menerusi program nyanyian Big Stage 2022, nama penyanyi Aisha Retno, 22, dilihat semakin ranum dalam kalangan penggiat seni hiburan tempatan.
Tidak sampai beberapa bulan selepas melancarkan single bergenre balada, Pencarianku, Aisha kini sibuk mempromosikan single terbarunya berjudul Sutera.
Seiring dengan rancangan rangka promosi, syarikat rakaman yang menaungi Aisha, Sony Music Entertainment Malaysia menganjurkan acara istimewa An Intimate Showcase with Aisha Retno pada 8 September lalu bertempat di Red Box the Gardens, Kuala Lumpur.
Berbicara mengenai showcase berkenaan, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam akui berasa teruja kerana dapat menghargai para peminat dan rakan media secara lebih dekat.
"Showcase Ini merupakan showcase yang dikelolakan khas untuk para peminat dan media, semestinya saya amat teruja. Alang-alang sudah buat persembahan secara lebih dekat, bolehlah saya persembahkan lagu terbaru iaitu Sutera secara langsung dan sekaligus dapat mempromosikannya kepada tetamu yang hadir.
“Selain itu, saya juga mempersembahkan lagu-lagu yang pernah saya lancarkan seperti dari single sulung saya Mengikat Jiwa dan sebahagian lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama iaitu Cinta Denganmu dan Nukilanku. Selain itu, lagu W.H.U.T (Wanna Hold You Tight) yang kini sudah mencapai 33 juta penstriman audio di keseluruhan platform digital turut dipersembahkan.
“Saya akan persembahkan lagu-lagu berkenaan khas buat para peminat dan rakan media yang sudah bertungkus lumus dan tidak putus memberikan sokongan sepanjang perjalanan nyanyian saya hingga ke hari ini,” katanya.
Aisha menambah, dia amat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti menyokongnya dan berharap agar lagu Sutera mendapat sokongan padu secara berterusan.
"Terima kasih kepada anda semua yang menyokong lagu Sutera, sambutan yang diterima setakat ini amat memberangsangkan.
Sedikit mengenai lagu Sutera, lagu ini merupakan lambang seorang permaisuri Jawa. Kita tahu sutera sifatnya lembut, agung dan amat dihargai oleh ramai orang. Bagaimanapun, kalau dirosakkan kain itu, habislah tercemar keagungnnya.
Begitulah juga dengan permaisuri Jawa itu, kalau ada orang yang pernah sakiti hatinya di masa lalu, maka tercemarlah juga perasaanya.
Lagu yang ditulis dan digubah sendiri kali ini memberi kelainan dalam Sutera. Aisha menjelaskan gabungan elemen etnik Jawa dan muzik moden EDM menjanjikan perbezaan berbanding lagu-lagunya yang terdahulu dan karya hasil kerjasama dengan MFMF ini turut disulami dengan mesej untuk memperkasakan kaum wanita.
Sebelum tampil dengan single terbarunya itu, Aisha telah mencipta sejarah manis apabila wajahnya menghiasi papan iklan tersohor di New York untuk kempen EQUAL daripada Spotify pada Julai lalu. EQUAL adalah satu kempen global yang memperjuangkan ekuiti (hak sama rata) wanita dalam muzik.