Laman Utama

Aisha Retno Ungkap Rintihan Menanti Jawapan Cinta Dalam Nukilanku

gempak
Asraf Aided
04/06/2021
07:27 MYT
Sponsor Banner
Aisha Retno Ungkap Rintihan Menanti Jawapan Cinta Dalam Nukilanku
Tiada rasa yang lebih memeritkan selain menanti cinta luhur daripada seseorang untuk berputik dalam hati. Apatah lagi jika seseorang itu cuma dekat dengan kita hanya kerana mengingatkannya kepada cinta lama. Rasa pedih itu pastinya lebih berat mengenangkan sampai bila harus menanti untuk cinta kita berbalas.
Itulah yang cuba disampaikan penyanyi Aisha Retno menerusi lagu baharu ciptaannya berjudul Nukilanku. Mendapat sentuhan melodi daripada komposer hebat, Farouk Roman, perjalanan kisah dalam lagu itu cukup meruntun perasaan. Situasi terperangkap dalam ruang cinta yang tak pasti, sesiapapun pasti sedih.
Meskipun dicipta khas untuk dijadikan runut bunyi drama, Aisha mengakui keperitan itu cukup dirasakan sewaktu merakamkan lagu Nukilanku. Baginya, situasi menanti cinta untuk dibalas itu saja pun sudah terlalu menduga emosi. Justeru, dia berharap lagu terbabit akan mampu menjadi lagu penenang buat yang berdepan situasi serupa.
Nukilanku diinsipirasikan daripada skrip drama itu sendiri, dimana perspektif saya ceritakan itu tertunggu bila tibanya perasaan cinta luhur buat dirinya.
"Kiranya, Nukilanku adalah luahan hati seseorang yang mengimpikan cinta menjadi miliknya," kata Aisha.
Dalam pada itu, Aisha juga mengatakan dia berpuas hati kerana menyanyikan lagu yang ditulisnya sendiri, perasaannya berbeza berbanding menulis lagu untuk penyanyi lain.
“Saya cuma berharap pendengar akan dapat merasakan rintihan yang saya cuba sampaikan dalam mesej lagu itu. Saya pun sudah lama juga tidak menulis lirik untuk lagu sendiri dan penghayatannya jauh lebih berbeza berbanding menulis lagu kepada orang lain. Biar mereka merasakan keperitan cinta tidak berbalas itu dalam nyanyian saya,” katanya.
Sebagai penyanyi yang memiliki laras vokal hebat, penyanyi di bawah naungan Sony Music Malaysia ini bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk melunaskan tugasan dalam lagu ini.
Bahkan, dia mengakui memang berdepan sedikit tekanan sewaktu proses rakamannya, namun cukup lega kerana mendapat tunjuk ajar terbaik daripada Farouk.
“Alhamdulillah, proses rakamannya sangat lancar dan ia dibuat selama dua hari. Paling saya rasa bersyukur dan istimewanya adalah apabila Farouk sendiri yang menjaga serta memberi tunjuk ajar pada bahagian vokal saya. Tidak dinafikan, tekanan itu ada juga kerana selalu bahagian vokal orang lain jaga tapi kali ini dikemudi komposernya sendiri,” katanya.
Lagu Nukilanku adalah satu daripada runut bunyi untuk drama Masih Ada Rindu arahan Osman Ali yang dibintangi pelakon hebat seperti Mimi Lana, Farid Kamil, Dayang Areeda dan ramai lagi.
Nukilanku boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024