Penyanyi Datuk Aishah, mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19 selepas lima bulan pulih daripada virus tersebut.

Perkara tersebut didedahkan Aishah menerusi perkongsian video pada akaun laman sosial Instagram (IG) dan Facebook, malam tadi.

"Assalamualaikum semua. Ini baru betul-betul ketentuan takdir. Hari itu, selepas menerima suntikan dos penggalak, saya diminta Presiden Aishah FC, Dr Nazlin buat ujian saringan.

"Hari pertama keadaan saya baik-baik sahaja. Namun, selepas membuat ujian menerusi kit ujian kendiri, saya didapati positif COVID-19 untuk kali kedua.

"Saya juga buat ujian itu untuk kali kedua dan keputusannya tetap sama (sambil menunjukkan alat ujian itu yang bertanda dua garisan merah).

"Rasa sakit teramat dan saya betul-betul tidak larat. Simptom yang saya alami ini sama seperti simptom klasik COVID-19 yang pernah saya baca sebelum ini.

"Masa mula-mula kena, saya tidak ada batuk atau hidung berair. Tetapi kali ini, keadaannya sangat teruk," luahnya.

Aishah juga memohon semua pihak yang pernah berjumpa atau bekerja dengannya melakukan ujian saringan.

Tambah Aishah, dia reda dengan ujian diberikan Allah dan dalam masa sama sempat bergurau mengenai COVID-19.

“Covid ni peminat Janji Manismu juga ka. Kerja ikut i ja ka. Allah suruh rehat lagi. Doakan ya. Bukan doakan i sahaja tetapi doakan semua yang kena Covid. Kita teringin la nak raya, dah kena balik,” katanya.