Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro sudah bersedia untuk menyambung legasi sebagai pengacara Melodi menggantikan tempat Awal Ashaari dan AG Azmeer (Kool FM).

Bagaimanapun Ajak memohon agar dirinya tidak dibandingkan dengan Awal atau AG kerana gaya penyampaian setiap individu adalah berbeza.

“Saya sendiri tidak sangka diberi kepercayaan oleh produksi Melodi untuk menjadi hos terbaru program tersebut bersama pelakon Janna Nick.

“Sejujurnya saya gementar untuk masuk ke set pada Ahad ini kerana bukan mudah untuk menggantikan dua pengacara yang sudah lama mengendalikan program itu.

“Tetapi, tidak mengapa saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik kepada peminat terutama penonton setia Melodi.

“Cuma satu, kalau boleh janganlah bandingkan kami dengan Awal dan AG kerana sudah tentu cara penyampaian kami dan mereka berbeza,” katanya ketika di hubungi Astro Gempak.

Mengenai gandingannya bersama Janna Nick, Ajak berkata dia tidak kisah bekerja dengan sesiapa sahaja.

“Saya tahu mesti ramai yang tertanya-tanya ‘chemistry’ di antara saya dan Janna nanti. Saya yakin kami mampu lakukan yang terbaik kerana Janna juga seorang yang sangat spontan dan sempoi.

“Kepada semua, nantikan kami Ahad nanti dan lihatlah sendiri. Jika ada sebarang kekurangan saya bersedia menerima teguran untuk penambah baikan pengacaraan kami,” ujarnya.

Ajak dan Janna Nick akan memulakan tugas pertama mereka pada Ahad ini.

Terdahulu, Awal mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari program tersebut selepas enam tahun bergelar pengacara manakala AG pula mengundurkan diri selepas tiga tahun menggalas tugas sebagai hos Melodi.

Selebriti terkemuka seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud, Datuk Aznil Nawawi, Raja Azura dan Fara Fauzana pernah menggalas tugas sebagai hos program popular tersebut.