Ajar Anak Solat, Kenalkan Kalimah Allah...Sheikh Muszaphar Kongsi Tips Didik Anak Di Usia Kecil

Asraf Aided
Januari 10, 2020 09:03 MYT
Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi video mengajar anak kembarnya Adam dan Noah untuk solat dan mengenali kalimah Allah.
Muszaphar berkongsi video menarik itu menerusi entri di akaun Instagram miliknya hari ini.
Menurut Muszaphar, proses mengajar itu bukanlah satu perkara mudah kerana membabitkan dua anak pada satu masa.
"Mengajar mereka bukanlah satu perkara mudah kerana mereka berdua, tak mengapa, pahala 'double'.
"Adam dan Noah telah menunjukkan minat untuk solat, mereka selalu meniru cara solat kerana melihat kami menunaikannya," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Muszaphar turut menyarankan penganut agama Islam untuk memperkenalkan kalimah Allah kepada anak-anak sejak usia kecil mereka.
"Saudara Islam sekalian, cubalah untuk memperkenalkan kalimah Allah kepada anak-anak sejak usia kecil mereka, nanti suatu masa mereka akan tanya siapa Allah, itu menunjukkan akal dan mereka boleh berfikir," tambahnya.
Sekadar info, Muszaphar dan isterinya, Datin Dr. Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha (kembar perempuan) dan kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah.
#Sheikh Muszaphar