Laman Utama
“AJL Pertandingan Tulis Lagu, Bukan…” - Ada Yang Berbunyi Fasal Juara, Ini Jawapan Padu Altimet
Penyanyi rap yang juga merupakan salah seorang juri Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37), Altimet tampil menjawab dakwaan netizen yang seolah-olah meragui sistem penjurian.
Melalui ciapan di akaun Twitter miliknya, Altimet berkongsi coretan seorang individu yang mempersoalkan perkara itu dan mendakwa pihak terlibat sudah mengetahui siapa juara (AJL37) terlebih dahulu.
Membalas dakwaan tersebut, Altimet menjelaskan AJL merupakan sebuah pertandingan menulis lagu dan penilaian utama adalah dari aspek melodi dan lirik.
“AJL ni pertandingan tulis lagu, bukan nyanyi lagu. Jadi penilaian utama pada melodi, lirik. Gubahan (arrangement) dan persembahan juga diambil kira.
“Jadi sebahagian markah tak perlu diberikan dengan menonton persembahan. Tapi tak adil bila tak nilai penyampaian lagu tu,” jelasnya.
Selain Altimet, 12 finalis AJL 37 diadili oleh 9 lagi juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Datuk Acis, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Khir Rahman, Azlan Abu Hassan, Damian Mikhail, LY manakala Datuk Mokhzani Ismail sebagai ketua juri.
Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 80 peratus yang diadili terlebih awal, manakala baki 20 peratus melalui persembahan pada malam kemuncak.
Anugerah Juara Lagu (AJL) bertujuan untuk memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
Terdahulu, AJL37 menyaksikan Aina Abdul dinobatkan sebagai juara dan sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi bersalut emas.
Selain juara, Aina juga diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Terus Hidup ciptaan sepenuhnya dari Aina dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video