Pelakon Shima Anuar enggan mendedahkan jantina anak keduanya yang kini sudah memasuki trimester kedua.

Kata pelakon filem Highland Tower itu, dia akan mengadakan majlis khas untuk mengumumkan jantina bayi keduanya selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Buat masa sekarang saya mahu merahsiakan terlebih dahulu jantina bayi kedua ini dan insya-Allah akan ada majlis gender reveal pada bulan Jun atau Julai nanti.

"Buat masa sekarang, saya dan suami ada membeli sedikit barangan keperluan bayi memandangkan masih banyak barangan Sophia yang masih boleh dipakai.

"Maklumlah, pertama kali hamil dulu terlebih teruja nak membeli barangan keperluan bayi sampai ada yang tak terguna pun," katanya kepada Gempak.

Shima ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Larney X Locka di Mercu Mustapha Kamal, Damansara, Selangor malam tadi.

Dalam pada itu, Shima turut meluahkan rasa teruja untuk menyambut kelahiran keduanya yang dijangka pada Ogos nanti.

Shima telah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan, Mohd Solih Toha pada April 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata Marian Sophia, 2 tahun.