Pengurus artis terkenal, Jojie Aminuddin yang kini bergelar pengurus kepada Azharina Azhar mengatakan dia telah merancang pelbagai gimik dan strategi untuk tujuan promosi single juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) itu sepanjang tahun ini.

Menurut Jojie, dia dan Azharina atau mesra disapa sebagai Nina lebih menumpukan perhatian dalam aspek pemasaran single berbanding menghasilkan album terbaru kerana berpendapat ia bersesuaian dengan pasaran masa kini.

"Kami akan menumpukan lebih perhatian dalam strategi promosi single berbanding menghasilkan album terbaru kerana ia lebih sesuai dengan pasaran zaman kini.

"Namun begitu, ia tidak bermaksud Nina tidak akan tampil dengan album terbaru, cuma bukan fokus utama kami setakat ini.

"Bermula awal tahun ini, selain beberapa single terbaru, akan ada pelbagai gimik dan promosi yang bakal menemui peminat Nina," kata Jojie kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Nina akan muncul dengan konsert solo bergelar Azharina Queen of Soul yang akan berlangsung pada 29 Jun 2019 di Teater Shah Alam.

Konsert ini mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.

Tiket telah mula dijual di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C).