Penceramah terkenal, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali Syamsul Debat, semalam telah diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi Dun Sikamat.

Syamsul Debat merupakan salah seorang daripada 19 muka baharu di Dun yang dicalonkan BN pada PRU14.

Menurut Syamsul, dia akan terus berceramah dan pada masa sama sebagai wakil rakyat, memberi tumpuan kepada masyarakat di kawasannya.

"Alhamdulillah, atas sokongan Menteri Besar (Mohamad Hasan), pemimpin tempatan dan rakan, saya dipilih menjadi calon BN di DUN Sikamat dan inilah masa untuk saya bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN.

"Sudah tentu ia tugas yang amat berat, dengan mandat yang diberikan ini saya akan menjalankan tanggungjawab dengan amanah.

"Seperti mana hadis tidak beriman orang yang tidak menjaga amanah dan tidak beragama orang yang tidak melaksanakan janji," katanya.

Pencalonan Syamsul Debat diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Majlis Penyerahan Watikah Kepada Calon-Calon BN negeri bagi PRU14 untuk Parlimen dan Dun di kediaman rasmi Menteri Besar semalam.

Manakala, penyandang kerusi Parlimen Jempol yang juga bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad digugurkan dari senarai calon.

Untuk perkembangan lain, jangan lupa untuk menyaksikan Astro Awani (Saluran 501) untuk mengetahui berita terkini mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber: Astro Awani