Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Akhirnya Dapat Balik Akaun Saya...Mereka Hack, Lepastu Minta Bitcoin Kalau Nak Balik IG!” – Josiah Hogan

Fiza Kamarudin
12/11/2021 06:19 MYT
Pelakon Josiah Hogan meluahkan rasa gembira apabila akaun Instagram (IG)nya diperolehi semula selepas digodam beberapa bulan lalu.

Imbas kembali ketika akaun IGnya mula-mula digodam, Josiah berkata ada individu dari Turkey menawarkan diri untuk mengembalikannya.

“Ya, akaun IG saya kena hack dan dah balik, walaupun ia mengambil sedikit masa. Tapi yang peliknya, masa awal-awal kena hacked dulu, ada individu dari Turkey tawarkan diri untuk bagi balik akaun IG saya.

"Tetapi katanya, dia mahu wang dalam bentuk Bitcoin. Tetapi saya tak layan dan usaha untuk dapatkan balik akaun dengan bertanya kepada kawan-kawan lain yang pernah terkena," katanya.

Bagaimanapun kata Josiah, dia gembira kerana dapat berhubung kembali dengan ahli keluarga di Mexico dan USA.

“Tetapi tak mengapalah, asalkan saya dapat balik segala kenangan yang telah saya simpan di situ. Rasa lega jugalah.

"Yang penting dapat contact balik sepupu dan saudara mara di Mexico dan USA serta peminat-peminat yang telah banyak menyokong perjalanan seni saya selama ini,” katanya.

Dalam pada itu Josiah sempat berpesan kepada pelayar laman sosial agar sentiasa berhati-hati dengan penggodam yang semakin bijak menggunakan pelbagai taktik untuk merampas akaun media sosial orang lain.

“Saya pun tidak tahu mengapa saya dijadikan sasaran. Saya tak pernah cari fasal dengan sesiapa di alam maya atau di alam nyata sekali pun.

“Pesan saya kepada anda di luar sana, berhati-hatilah dengan sesiapa sahaja terutama yang tidak dikenali dan yang nampak pelik-pelik tu.

“Jangan klik pautan-pautan yang dihantar kerana itu mungkin penggodam yang nak rampas akaun media sosial anda.

“Mereka (penggodam) ni tak kira siapa…Mungkin mereka puas hati bila dapat hack akaun orang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Josiah kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 20 episod berjudul, Selimut Cinta.

Drama yang akan ditayangkan di RTM ini turut dibintangi Daler Yusuf, Sharifah Husna dan Nesa Idrus.

#Josiah Hogan #Bitcoin #IG Kena Godam
;