Kereta mewah Lamborghini milik pelakon Indonesia, Raffi Ahmad yang terbakar di Jawa Barat dua tahun lalu kini sudah siap dibaiki dan boleh dipandu seperti biasa.

Hal itu dikongsi Raffi pada Rabu di akaun Instagram miliknya.

Dalam entri berkenaan, Raffi memuat naik foto kereta berwarna hitam penuh gaya itu dengan kapsyen memberi bayangan keretanya itu akan 'kembali'.

"Si banteng, dia akan kembali ke kandangnya di Andara sebentar lagi," coretnya.

Bagaimanapun, Raffi tidak menyatakan secara terperinci tentang bila kereta berharga RM5.6 juta itu akan dibawa pulang ke kediamannya.

Perkongsian itu mendapat perhatian daripada warganet yang seakan teruja melihat kereta yang akhirnya siap dibaiki itu.

Terdahulu, sebahagian besar Lamborghini Aventador milik Raffi terbakar di Sentul, Bogor, Jawa Barat pada 2019.

Kejadian itu berlaku disebabkan kereta berkenaan mengeluarkan percikan api secara tiba-tiba ketika dipandu oleh pemandunya.

***Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.