Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Akhirnya! Warga Selangor & KL Boleh Walk-In Ambil Vaksin

Awani
19/07/2021 10:20 MYT
Berita baik untuk warga Selangor dan Kuala Lumpur yang resah kerana masih belum mendapat temu janji vaksinasi walaupun sudah berdaftar sejak beberapa bulan lalu.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengumumkan mana-mana warga Selangor dan Kuala Lumpur yang belum mendapat janji temu vaksinasi serta golongan tercicir boleh mendapatkannya secara terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 1 Ogos ini.

Inisiatif itu diiuka kepada rakyat tempatan dan asing serta golongan tercicir yang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan seperti yang dijelaskan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin sebelum ini.

"Merujuk kepada mesej tular mengenai walk-in di Selangor dan Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2021, CITF ingin memaklumkan bahawa inisiatif walk-in ini adalah untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu selepas tarikh tersebut dan bukan untuk orang ramai yang sudah pun diberikan janji temu masing-masing,” kata CITF dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Sementara itu, CITF juga memaklumkan, kepada golongan yang telah mendaftar suntikan vaksinasi sebelum ini pula akan diberikan tarikh janji temu dalam masa terdekat manakala individu yang masih belum mendaftar, digalakkan untuk berbuat demikian secepat mungkin.

"CITF juga ingin memaklumkan bahawa PPV yang akan beroperasi untuk tujuan walk-in pada bulan Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak. PPV yang ada sekarang tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif walk-in ini.

"Dalam pada itu, CITF ingin menyeru agar mereka yang telah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan," jelas kenyataan itu lagi.

Inisiatif pemberian vaksin secara terus dilakukan oleh CITF selepas mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas menyebabkan kes harian yang tinggi.

Justeru, menjadi keperluan bagi warga Selangor dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan perlindungan melalui vaksin secepat mungkin.

Kredit Foto: Laman Web MKN
#Vaksin #Selangor #Kuala Lumpur #COVID 19 #Walk In
;